HALAMAN SANTAI

Isnin, 25 April 2016

Pertembungan di 6 kerusi: PKR tipu kami, kata DAP

Anne Muhammad dan Zikri Kamarulzaman


LIHAT VIDEO DI SINI

 
Masalah sekali lagi melanda pakatan pembangkang, dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyatakan kekecewaan dengan keputusan PKR untuk bertanding menentang parti itu di lima kerusi pada pilihan raya negeri Sarawak.

"Jika satu kerusi, kita boleh memahami. Kita boleh cuba untuk ketepikannya tetapi (ini sekurang-kurangnya) lima kerusi, bagaimana kita boleh ketepikannya?

"Kami rasa bahawa DAP telah ditipu," katanya kepada pemberita di luar pusat penamaan calon Senadin di Miri hari ini.

Menurut Lim, tidak ada komitmen daripada PKR untuk mematuhi perjanjian Pakatan Harapan supaya mereka tidak bertanding melawan antara satu sama lain.

Beliau berkata, tindakan DAP dan PKR berebut kerusi sama akan mengelirukan rakyat.





Kedua-dua sekutu itu akan menghadapi satu sama lain di sekurang-kurangnya lima kerusi - Mulu, Mambong, Ngemah, Simanggang dan Murum.

Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali hari ini mengesahkan bahawa beliau memberi kuasa kepada PKR Sarawak untuk menurunkan calon parti berkenaan di lima kerusi yang menjadi perbalahan dengan DAP.

Sebagai tindak balas, DAP pula meletakkan calonnya, Abdul Aziz Isa di Batu Kitang.

"PKR langgar perjanjian, jadi kami tidak mempunyai pilihan tetapi untuk bertanding di Batu Kitang," kata Abdul Aziz.

"Kajian Merdeka Center menunjukkan DAP mendapat lebih sokongan berbanding PKR jika kita bertanding di Batu Kitang tetapi dalam semangat Pakatan Harapan, kita memberi laluan kepada PKR untuk bertanding di kerusi boleh menang ini," katanya.

Calon PKR di Batu Kitang, Voon Shaik Ni enggan mengulas mengenai harapannya dalam pertandingan melawan DAP.

Katanya, hal dalaman mereka tidak perlu didedahkan di khalayak ramai.



Voon berkata ia terpulang kepada kepimpinan parti masing-masing untuk menyelesaikan hubungan yang kusut itu dan kekal yakin dengan peluangnya.

"Saya tidak fikir perkara sekecil seperti ini boleh menjejaskan keyakinan kami," katanya.

Pakatan Harapan ditubuhkan selepas Pakatan Rakyat, termasuk PAS, sebelum ini menemui kegagalan.

Tiada ulasan: