Bukan masalah besar cuma mungkin masalah dalaman Terengganu, kata menteri
KUALA LUMPUR: Pelucutan semua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, tidak menggambarkan krisis politik di negeri itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata melucutkan sesuatu darjah kebesaran yang dikurniakan merupakan hak Sultan sesebuah negeri.
“Bagi saya, tidaklah saya rasa ada krisis politik. Itu merupakan hak Tuanku sama ada mahu memberi atau menarik balik sesuatu darjah. Ia tersenarai dalam peraturan dan perlembagaan negeri itu.
“Ini bukan masalah besar cuma mungkin masalah dalaman Terengganu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Jamuan Penghargaan Bekas Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang di Bangunan Parlimen di sini, hari ini.
Sultan Mizan Zainal Abidin melucutkan semua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Ahmad Razif berkuat kuasa Jumaat 22 April, dan perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu kepada Bernama semalam.
Azalina yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO yakin langkah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menghadap Sultan Mizan dalam masa terdekat akan dapat menyelesaikan spekulasi terutama dalam kalangan rakyat negeri itu.
Beliau juga yakin Ahmad Razif akan terus menerajui Terengganu sebagai Menteri Besar.-BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan