Perhimpunan Bersih 5 yang berlangsung semalam mencatat kehadiran anak muda Melayu paling ramai, kata Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu.
Beliau merakam ucapan tahniah dan melahirkan rasa kagum dengan keberanian anak muda melaungkan slogan untuk kepentingan rakyat dan negara.
"Sebagai orang lama terlibat dalam himpunan aman, sejak berada dalam Abim, Pas dan sekarang dalam Amanah, saya melihat himpunan Bersih 5 semalam mencatat kehadiran anak muda Melayu paling ramai.
"Rata-rata yang saya temui dalam lingkungan umur 20 ke 30 tahun. Mereka membanjiri Dataran Maybank, Bangsar, KLCC, Masjid Jamek dan beberapa tempat lain. Memang sangat jarang saya melihat kehadiran anak muda sebegini ramai sekali," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamad yang kerap terlibat dalam perhimpunan aman termasuk mengepalai Bersih 1 dan 2 juga berkata, kehadiran anak muda menunjukkan kesedaran mereka untuk menyelamatkan negara.
"Anak muda kini sedar merekalah yang akan memikul tanggungjawab untuk membela nasib generasi sekarang dan akan datang.
"Sesungguhnya kehadiran Melayu dan kaum-kaum lain semalam sangat melegakan saya yang sudah veteran ini," katanya.
Menurut beliau juga, kehadiran kaum Cina dan Melayu adalah seimbang dalam perhimpunan semalam sekaligus membuktikan ia adalah perhimpunan rakyat Malaysia.
"Kita maklum bahawa memang kehadiran kaum Tionghua dalam mana-mana himpunan aman kebelakangan ini sangat ketara sekali. Namun kehadiran ramai Melayu Bumiputra semalam mengimbangi keadaan itu sekaligus menunjukkan himpunan semalam adalah himpunan rakyat Malaysia.
"Syabas kepada semua kerana dapat hadir dengan tenang dan bersemangat sepanjang himpunan untuk menuntut pilihan raya bersih dan kerajaan berintegriti," katanya.
Pelbagai pihak memberikan angka masing-masing tentang jumlah penyertaan kali ini dari serendah 20,000 sehingga ke angka 100,000 peserta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan