LIMA (Peru): Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau
melihat masyarakat Malaysia sudah bosan dengan kumpulan BERSIH atau
merasakan tindak-tanduk perhimpunan yang dipromosikan kumpulan berkenaan
tidak memberi faedah kepada negara.
Diminta mengulas perhimpunan BERSIH 5 di Kuala Lumpur semalam, beliau
berkata tindakan untuk menumbangkan kerajaan cara sedemikian adalah
tidak sah dari segi perlembagaan dan undang-undang.
"Kita sebagai rakyat Malaysia mestilah menjunjung prinsip kedaulatan
undang-undang. Kalau tidak, negara kita jadi negara huru hara, rakyat
yang menderita," katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan
sempena penyertaan beliau pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama
Ekonomi Asia Pasifik (APEC).
Mengulas kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad dalam BERSIH 5, Najib
berkata ia menunjukkan Dr Mahathir akan melakukan perkara-perkara yang
berbeza dengan apa yang dilakukannya ketika menjadi Perdana Menteri.
Beliau juga berkata apa yang disuarakan oleh Dr Mahathir mengenai
kedudukan ekonomi negara adalah cakap-cakap politik tanpa disokong oleh
fakta serta agensi penarafan dan badan antarabangsa seperti Tabung
Kewangan Dunia (IMF) atau Bank Dunia.
"Jika kita ada krisis ekonomi sudah tentu agensi penarafan akan turunkan rating.
"IMF dan Bank Dunia akan tegur dan bincang langkah yang perlu dilakukan oleh kerajaan," kata Najib.
Beliau menegaskan tiada tindakan oleh agensi antarabangsa itu membuktikan urus tadbir negara berjalan dengan baik.
"Tiada sebab mengapa kita rasa cemas," katanya.
Najib menegaskan bahawa kerajaan akan terus fokus kepada pentadbiran
bagi memastikan setiap program yang dirancang sampai kepada rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan