HALAMAN SANTAI

Ahad, 20 November 2016

Tuduh Rafizi sengaja mahu dipenjara, Rahman Dahlan mengarut

Oleh Alif Fikri

KUALA LUMPUR : KEADILAN mengecam keras tuduhan Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang mendakwa Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli sengaja mahu dipenjarakan demi kepentingan politik murahan.

Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran berkata, tuduhan tersebut sama sekali tidak berasas.

N_Surendran


“Tuduhan Rahman tidak berasas langsung dan saya tidak setuju sama sekali kerana isu yang ditimbulkan Rafizi untuk kebaikan rakyat.

“Tak ada sesiapa yang mahu masuk penjara dengan sengaja, tetapi kalau tidak ada cara lain untuk berjuang demi kebaikan rakyat, maka penjara adalah cabaran yang terpaksa dilalui.

“Kenyataan Rahman itu adalah bagi menutup kesan negatif rakyat terhadap kerajaan,” katanya ketika ditemui.

Surendran yang juga seorang peguam berkata, tuduhan mengarut Rahman itu secara tidak langsung membuktikan pemimpin Umno sememangnya melindungi kesalahan kerajaan melibatkan isu 1MDB.

Katanya lagi, dokumen yang dibawa Rafizi tidak sepatutnya diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

“Pemenjaraan Rafizi akan memberikan kesan negatif kepada kerajaan kerana rakyat menolak sekiranya Ahli Parlimen ditahan disebabkan mengutarakan kepentingan mereka,” ujarnya.

Pada 14 November lalu, Rahman mendakwa Rafizi sengaja mahu masuk penjara demi mendapat simpati rakyat dan tindakan itu katanya adalah agenda politik murahan Pembangkang.

Semalam, Rafizi yang juga Setiausaha Agung KEADILAN dijatuhkan hukuman penjara kerana didapati bersalah melanggar Akta OSA dan bakal berdepan hukuman penjara 18 bulan.

Tiada ulasan: