Bekas pemimpin Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Sharif Omar meminta rakyat Pulau Pinang menyatakan di manakah tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang dikatakan anti-Melayu.
"Saya nak tanya orang Pulau Pinang sekarang, tang mana yang dikatakan Lim Guan Eng ini anti-Melayu kot-kot saya tak tau."Tak ada sebenarnya," kata Sharif, bekas exco kerajaan negeri Pulau Pinang ketika Gerakan memimpin negeri itu. Beliau kini adalah Penyelaras Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Pulau Pinang.
Sharif menyertai forum "Biarlah aku berkorban untuk Malaysia" anjuran Parti Amanah Negara di Tasik Gelugor, Pulau Pinang malam tadi bagi menngingati kematian Mohd Shukri Saad, pemuda berusia 38 tahun yang terjun dari jambatan Pulau Pinang akibat tekanan hidup.
Forum itu turut membariskan Datuk Dr Mujahid Yusof (ahli parlimen Parit Buntar), Zairil Khir Johari (ahli parlimen Bukit Bendera) dan Sim Tze Tzin (ahli parlimen Bayan Baru) sebagai panelis.
Sharif yang juga bekas Menteri Pertanian berkata, Umno sejak dari dahulu berkata, tidak boleh sokong DAP kerana parti itu anti-Melayu.
"Kini dah masuk penggal kedua DAP memerintah Pulau Pinang, boleh tunjuk kat saya tak mana (tindakan) yang DAP buat anti-Melayu tu," soalnya.
Bagi Sharif, Lim Guan Eng telah membuat lebih baik untuk rakyat Pulau Pinang berbanding dengan pemimpin sebelum ini.
"Lim Guan Eng ini buat lebih baik dari dulu... ini berasaskan fakta. Jadi isu rasis yang Umno dok canang tu tak laku dah, orang Pulau Pinang tak boleh terima dah isu tu," kata Sharif.
"Pooorah....," kata Sharif kepada pemimpin Umno sambil menegaskan yang menipu rakyat selama ini adalah pemimpin Umno.
"Yang depa tahu, hidup Umno, hidup Melayu... padahal dia sapu habis semua dah," katanya.
Bagi beliau, slogan Umno itu hanya retorik semata-mata kerana pemimpin Umno inilah yang rosakkan Melayu.
"Kami dah bye-bye kepada Umno... kami dah tinggalkan Umno... kami tak kisah lagi dah mahu masuk parti mana, PKR, DAP, Amanah atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)," kata Sharif.
Sehubungan itu, beliau mengajak semua pihak agar bersatu sebagaimana diminta oleh Mohd Shukri dalam notanya sebelum terjun dari Jambatan Pulau Pinang."Kita perlu bersatu... DAP, PKR dan Amanah dan PPBM akan bersama-sama dengan tiga parti ini.
"Saya sertai PPBM dan akan bekerjasama dengan ketiga-tiga parti ini kerana kita hendakkan perubahan tanpa kira Melayu, Cina atau India," katanya.
Bagi Sharif, Umno sudah tidak relevan lagi kerana ramai yang sudah sedar dan akan tinggalkan Umno.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan