HALAMAN SANTAI

Isnin, 21 November 2016

Jalan raya: Silap sikit pun bawa padah

Jalan raya: Silap sikit pun bawa padah


SHAH ALAM - Walau hanya dengan sedikit kesilapan, ia sudah cukup untuk menyumbang kepada kemalangan dan kematian di jalan raya.

Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/ Pengurusan Saman) JSPT Bukit Aman, Asisten Komisioner Ruslan Khalid berkata, pengguna jalan raya sepatutnya mengekalkan sikap sopan bagi mengelakkan kesilapan berlaku ketika menggunakan jalan raya.

"Silap sedikit, walaupun hanya dua saat akan membawa kesan yang besar ke dalam hidup kita.

"Budayakan sikap pemanduan sopan di jalan raya," katanya ketika memberi pandangan dalam Wacana Sinar Harian Siri ke-43: ‘Pusara di Jalan Raya: Sampai Bila?' di sini, hari ini.

Malaysia adalah antara negara yang mencatatkan indeks kematian akibat kemalangan jalan raya tertinggi di dunia tahun lepas.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi pada 19 November lalu berkata, ini berikutan terdapat 2.55 kematian dicatatkan bagi setiap 10,000 kenderaan berdaftar di negara ini sepanjang tempoh itu.

Beliau berkata angka itu dianggap tinggi berbanding negara maju seperti United Kingdom, Sweden dan Australia yang hanya merekodkan kurang daripada dua kematian bagi setiap 10,000 kenderaan berdaftar di negara berkenaan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia antara negara tertinggi kemalangan di dunia]

Bagi pihak berkuasa, kata Ruslan lagi, polis akan sentiasa menguatkuasakan undang-undang di jalan raya bagi mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya.

"Kalau tidak mahu berubah, pihak berkuasa akan ambil pendekatan 'paksa' pemandu untuk berubah dan sedar risiko terhadap kemalangan jalan raya," katanya lagi.


Tiada ulasan: