Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
KUALA LUMPUR: PAS menerima apa sahaja pendirian Presidennya, Datuk Seri
Abdul Hadi Awang berhubung kerjasama parti itu dengan Parti Pribumi
Bersatu Malaysia (PPBM).
Namun begitu menurut Naib Presidennya, Dr Idris Ahmad, segala keputusan
rasmi akan dibincangkan menerusi mesyuarat parti terlebih dahulu,
termasuk membawa pandangan pimpinan tertingginya itu.
"Pandangan Presiden kita kena pakai sebab ada pemberat (kelebihan) sebagai pimpinan dan Presiden parti.
"Semua keputusan melibatkan parti akan diadakan mesyuarat dahulu. Kalau
nak berkawan dengan parti lain, kita kena mesyuarat malah nak putuskan
hubungan pun kita akan adakan mesyuarat," katanya kepada pemberita
selepas hadir merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Titiwangsa
ke-32 di Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) hari ini.
Semalam Hadi dilaporkan berkata PAS tidak akan mengadakan kerjasama
rasmi dengan PPBM selepas parti pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad itu
bakal menyertai Pakatan Harapan (PH).
PPBM pada Selasa lalu secara rasminya mengumumkan penyertaannya ke
dalam PH dengan turut mencadangkan penyertaan pengubahsuaian nama
pakatan berkenaan.
Pelbagai kenyataan berhubung rundingan kerjasama PAS dan PPBM
dikeluarkan selepas parti baru itu mengumumkan penyertaan mereka ke
dalam pakatan berkenaan, apatah lagi ia dikatakan masih mengadakan
perbincangan dengan PAS.
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menyatakan PAS
menganggap partinya tidak ada lagi hubungan dengan PPBM jika ia sah
menyertai PH.
Bagaimanapun kenyataan Mohd Amar dilihat bertentangan dengan Timbalan
Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang menegaskan pandangan
tersebut bukan pendirian rasmi parti, sebaliknya hanya bersifat
peribadi.
Soal kenyataan yang berbeza-beza ini kemudiannya diajukan kepada Idris,
apakah ia akan menimbulkan kekeliruan dikalangan ahli parti.
"Saya rujuk kepada kenyataan Presiden semalam. Kita kena pakai kenyataan Presiden. Tidak ada percanggahan.
"Sebagai prinsip kita apa yang dikeluarkan oleh Presiden ada kelebihan,
tidak perlu kita pertikaikan. Sebab keputusan muktamad adalah ditangan
PAS Pusat," tegas Ahli Parlimen Bukit Gantang itu lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan