Oleh Zeanaaima Mohd Yusof & W. Anis Ilyani W. M. Azhar
KUALA LUMPUR: PKR akui sedikit bimbang dengan tiga usul yang diluluskan
PAS peringkat kawasan, untuk menggesa PAS Pusat memutuskan hubungan
dengan partinya.
Ahli Jawatankuasa Biro Politik PKR, Datuk Kamaruddin Jaafar
bagaimanapun berkata, apa sahaja ketetapan PAS, partinya kekal dengan
pendirian untuk berhubung dengan semua parti politik, khususnya
pembangkang.
Terdahulu, Pemuda PAS kawasan Tumpat, PAS kawasan Permatang Pauh dan
Bayan Baru meluluskan usul agar PAS Pusat memutuskan hubungan dengan
PKR.
"Saya sebagai Ahli Jawatankuasa Biro Politik PKR Pusat mengikuti
perkembangan dan pergolakan ini. Sudah tentu ada sedikit kebimbangan
namun umumnya kita anggap ia perkembangan politik dalaman PAS dan dalam
masa sama kita akan kekal sebagaimana dasar kita iaitu berhubung dengan
semua parti politik khususnya pembangkang.
"Setakat ini tak ada cadangan atau ura-ura dalam PKR untuk putus
hubungan dengan mana-mana parti pembangkang," ujarnya, ketika ditemui
pemberita di lobi Parlimen.
Gesaan agar PAS memutuskan hubungan dengan PKR semakin lantang dilontar
pemimpin akar umbinya selepas presiden mereka, Datuk Seri Abdul Hadi
Awang memberitahu akan menilai untung rugi meneruskan tahaluf siyasi
dengan parti itu.
Ini kerana PKR tetap meneruskan hubungan politik dengan seteru PAS, DAP dan parti serpihannya, Amanah.
Pun begitu, Kamaruddin berkata beliau masih optimis untuk hubungan partinya dan PAS dikekalkan.
"Apa yang kita baca tentang keputusan Pemuda PAS Tumpat dan Permatang
Pauh mungkin tidak memeranjatkan. Kita harus faham tahun ini tahun
pemilihan di semua peringkat PAS.
"Keputusan dan usul seperti ini termasuk berkaitan PKR harus dilihat
dalam konteks politik dalaman yang rancak berlaku dalam parti. Saya
yakin selepas proses pemilihan selesai dengan muktamar pada hujung
April, maka pimpinan tertinggi PAS akan buat keputusan dan kita semua
menunggu keputusan tersebut.
"Secara peribadi saya harap keputusan yang PAS akan buat nanti akan
menguntungkan pembangkang di atas hasrat bersama, yang saya yakin masih
ramai dalam PAS berpegang dengan itu... yang ingin lihat perubahan
kerajaan di peringkat negara yang kita akan lakukan dalam PRU," katanya
lagi.
PAS satu-satunya parti yang akan meneruskan proses pemilihan parti
dikala PKR, DAP dan Barisan Nasional (BN) menangguh acara tersebut.
Sementara Amanah tidak membuat sebarang kenyataan bersabit pemilihan parti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan