Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: Amanah tidak terkejut dengan kenyataan yang dibuat oleh
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution yang dikatakan akan
mempertahan 30 buah kerusi milik PKR pada Pilihan Raya Umum (PRU) kali
ini.
Setiausaha Agungnya, Anuar Tahir berkata, Amanah sedia maklum dengan
asas pembangkang yang membenarkan mana-mana kerusi yang dimenangi parti
tertentu untuk dipertahankan dan ia adalah bukan suatu perkara yang
baru.
“Jadi kenyataan Saifuddin itu pada saya bukan satu perkara yang
mengejutkan atau satu benda baru sebab memang kebiasaannya parti yang
dulunya menang, maka keutamaan diberikan kepada parti itu untuk sekali
lagi mempertahankan.
“Memang pada dasarnya kita bersetuju semua kerusi-kerusi yang telah
dimenangi oleh sesuatu parti itu, dia berhak untuk mempertahankannya,”
katanya semasa dihubungi Antarapos hari ini.
Semalam, Saifuddin yang mewakili Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar
Ibrahim menyatakan tidak akan menyerahkan mana-mana kerusi yang
dimenangi parti itu kepada mana-mana rakan komponen Pakatan Harapan
dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.
Menurutnya, Anwar telah memberikan garis panduan jelas kepada parti
dalam rundingan pengagihan kerusi PRU14 yang turut melibatkan DAP,
Amanah dan PPBM.
Malah, kerusi yang hampir dimenangi PKR semasa PRU lepas juga tidak
akan diserahkan kepada mana-mana komponen parti dalam PH pada PRU kali
ini.
Ditanya lanjut berkenaan kerusi yang bakal ditandingi Amanah dalam
PRU14 kelak, Anuar sebagaimana ditegaskan sebelum ini berkata partinya
akan bertanding di semua kerusi PAS.
“Jadi, tiada masalah, kita (Amanah) akan bertanding kerusi-kerusi yang dulunya ditandingi oleh PAS, jadi tiada masalah.
“Amanah pun tidak akan tuntut mana-mana kerusi yang 30 yang dimenangi
Keadilan (PKR) itu. Melainkan nanti kalau ada ‘swap’, tukar-menukar, itu
lain lah," ujarnya.
Dalam pada itu, ketika dihubungi Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu
Malaysia (PPBM), Datuk Hamidah Othman, beliau turut tidak terkejut
dengan perkata yang dinyatakan Saifuddin itu dan bertegas ia adalah asas
dalam PH sendiri.
“Ia adalah adil sebab kalau kerusi-kerusi yang mereka dah menang kenapa
pula PPBM perlu ambil kerusi-kerusi yang mereka dah menang," katanya
ringkas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan