BUKAN jam tangan!
Tetapi saya maksudkan bagaimana ingin memiliki
lebih banyak masa dalam sehari. Ketika rakan-rakan di sekeliling anda mengomel
kerana merasakan tidak cukup 24 jam untuk menyiapkan semua perkara dalam
sehari, anda cuma perlu mengikuti tips yang saya kongsikan di bawah ini untuk
sentiasa tersenyum.
Ya, kerana anda memiliki jalan pintas, mudah dan
percuma untuk menjimatkan masa:
Rancang & Rawat. Buat perancangan setiap pagi
dan rawat perancangan (muhasabah) setiap kali sebelum tidur.
Percayalah, 5 minit yang anda luangkan untuk
aktiviti ini dapat menjimatkan berjam-jam masa berharga dalam hari anda. Jika
anda gagal lakukan perancangan, lupakan saja tips-tips lain yang saya kongsikan
di bawah.
Beri keutamaan. Nilai dan
susun aktiviti seharian mengikut kesannya terhadap hidup anda. Ingat, lebih
kurang 80% perkara yang anda buat hari ini tidak memberikan kesan yang
penting kepada siapa diri anda 10 tahun akan datang.
Nilaikan aktiviti menggunakan skala 1- Mesti,
3-Perlu sehingga 5- Mungkin. Laksanakan perkara yang penting ketika masa
perdana anda iaitu pada pagi hari
Buat Keputusan Penting Sahaja. Jangan serabutkan minda anda dengan keputusan-keputusan kecil yang
pelbagai. Ingat, Presiden USA tidak perlu memilih warna pakaian dan menu hariannya.
Begitu juga pengasas Facebook, Mark Zuckerberg
memakai tshirt dan jeans yang serupa setiap hari supaya tidak
perlu menggunakan kapasiti otaknya untuk menentukan perkara-perkara remeh.
Tambah Tenaga. Ya, anda
perlukannya untuk melakukan kerja dengan lebih fokus, cepat dan tepat. Pastikan
anda makan makanan yang betul, bersenam dengan betul dan tidur dalam kuantiti
yang betul.
Jangan Tamak. Melakukan
beberapa perkara dalam masa yang sama (multitasking) boleh mengurangkan
produktiviti anda sehingga 40%. Jangan tertipu dengan menyangka anda boleh
menyiapkan banyak tugasan dengan lebih cepat melalui multitasking.
Mahirkan diri. Supaya
anda boleh menyiapkan sesuatu tugasan lebih cepat dari orang kebiasaaan dan
mempunyai lebih banyak masa untuk perkara lain.
Tiada rahsia lain selain latihan dan ulangan.
Lakukan setiap hari, ulang sehingga sebati dan tanamkan sungguh-sungguh
sehingga jadi tabiat diri.
Sesetengah pakar mengatakan anda memerlukan latihan
selama 10,000 jam untuk menguasai sesuatu kemahiran.
Kurangkan Gangguan. Ketika menyiapkan tugasan penting, pastikan tumpuan anda penuh tanpa
perkara-perkara sambilan lain seperti telefon, email, Facebook, makanan apatah
lagi sembang-sembang kosong.
Kadang-kadang memakai headphones (walaupun tanpa mendengar
muzik), meletakkan telefon anda dalam mode senyap atau mengunci pintu pejabat
boleh membantu anda dalam hal ini.
Ubah Perkara Kecil. Mulakan dengan tabiat, budaya atau kebiasaan yang mudah terlebih
dahulu. Contohnya minum Teh O sebagai ganti Teh Tarik dalam sarapan untuk
tujuan kesihatan diri.
Guna Teknologi. Jangan
jadi katak bawah tempurung. Ambil manfaat pelbagai aplikasi telefon pintar
seperti Google Calendar dan To-Do-List untuk mengurus masa anda.
Sekurang-kurangnya janganlah lupakan teknologi pen dan kertas.
Urus Email. Jika
praktikal, jangan semak email pada awal pagi sebaik sahaja anda memasuki
pejabat. Cuba tetapkan tiga kali (contohnya 10am, 2pm dan 5pm) dalam sehari
sahaja untuk menyemak dan membalas email. Padamkan email yang tidak memerlukan
tindakan anda atau tidak perlu dirujuk lagi untuk tugasan mendatang.
Pukal Bukan Runcit. Untuk perkara-perkara kecil seperti membalas email, membalas miseds
call, bersosial di laman maya dan lain-lain pastikan anda lakukan secara pukal
(sekaligus) setelah dikumpulkan. Jangan sekali-kali membalas sebaik sahaja ia
tiba secara satu persatu (runcit)
Elakkan Mentaliti Sempurna. Jangan terlebih kritis. Elakkan menjadi ‘the perfect perfectionist’. Cuba
dulu dan perbaiki hasil kerja anda dari semasa ke semasa.
Cipta Tekanan. Ya, anda
tentu lebih faham bahawa tekanan boleh menyebabkan manusia beraksi di luar
kebiasaan. Jika tiada tekanan dari luar, cipta tekanan anda sendiri. Cabar
diri dan umumkan kepada orang lain.
Jangan lupa untuk memberikan penghargaan kepada
diri sendiri setelah anda berjaya mencapai matlamat yang ditetapkan
Katakan Tidak! Jangan
takut jika orang lain terasa hati. Lagipun, jangan harap anda boleh memuaskan
hati semua orang. Beranikan diri untuk menolak jemputan, mengelakkan dari
komitmen dan menarik diri dari komiti jika tidak selari dengan agenda utama
anda, lebih-lebih lagi untuk perkara yang tidak penting.
Walaupun kadang-kadang ia adalah teknik yang tidak
popular tapi anda perlukannya untuk pengurusan masa yang terbaik. Salah satu
teknik yang boleh saya kongsi ialah berpura-pura tidak tahu (tanpa menipu)
untuk mengelakkan komitmen.
Rehatlah. Berikan
diri anda rehat sekali-sekala. Walaupun selama 5 minit, untuk perjalanan jauh
beberapa jam yang seterusnya. Pastikan rehat yang berdisiplin masa dan
tempohnya.
Selain tips-tips dia atas, cuba juga 2
undang-undang ini bagi membantu anda mengurus masa dengan lebih berkesan:
Undang-undang 2 Minit- Lakukan terus perkara yang
anda boleh siapkan dalam masa 2 minit tanpa menangguhkannya, menyenaraikannya
dalam ‘to-do list’ atau merancang untuk melakukannya kemudian.
Contohnya membalas email ringkas, membasuh pinggan
dan membayar bil secara atas talian. Anda akan pasti memerlukan lebih dari 2
minit untuk menyiapkannya kemudian.
Undang-undang 5 Minit- Mulakan tugasan yang sangat
besar dan menakutkan anda dengan 5 minit pertama sahaja, tanpa
menagguhkannya.
5 minit pertama adalah mimpi ngeri dan tempoh
paling sukar dalam mana-mana tugasan, jika anda mampu menghadapinya dengan
tabah, besar kemungkinan anda boleh terus melebihi tempoh itu apabila telah
menemui rentak yang diperlukan.
Selamat Mencuba!
Ir. Hj. Muhammad Lukman
Al Hakim Bin Muhammad, Ketua Biro Latihan Kepimpinan ISMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan