shahbudindotcom
Tiba-tiba
saja Pakatan Harapan bagai dilanda angin perpecahan berikutan munculnya
semula isu siapa calon Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan
berjaya memenangi pilihanray akan datang.
Isunya
bukan kerana Pakatan Harapan tidak bersetuju nama Anwar Ibrahim
dicalonkan, tetapi siapakah calon Perdana Menteri interim atau peralihan
sementara Ketua Umum PKR itu dibebaskan dari penjara?
Kongres
PKR Ahad lalu bukan setakat menamakan Anwa sebagai Perdana Menteri
ke 7, bahkan meletakkan Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Perdana
Menteri peralihan sementara menunggu suaminya dibebaskan dan kemudian
diusahakan baginya pengampunan Diraja.
Menunggu
Anwar dibebaskan dan adanya seseorang yang lain perlu menduduki jawatan
itu terlebih dahulu, bermakna Anwar bukanlah calon Perdana Menteri ke
7, sebaliknya adalah giliran yang ke 8. Perdana Menteri interim itulah
yang ke 7 sebenarnya.
Sesiapa
pun boleh menamakan sesiapa saja sebagai calon Perdana Menteri interim
untuk Pakatan Harapan, namun pemilihan haruslah bersandarkan kepada
kemampuan untuk menerajui kemenangan dengan kebolehan paling mantap
menyerlahkan keyakinan rakyat serta menimbulkan "kegerunan" kepada
Najib Razak yang bakal ditumbangkan.
Jika
salah pilihan calon, bukan saja Pakatan Harapan tidak mungkin menang,
bahkan hasrat untuk menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri juga tidak
mungkin kesampaian.
Maka,
jika benar ingin menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri, kemenangan
Pakatan Harapan mesti digapai terlebih dahulu, bukan sekadar menonjolkan
namanya di plakad semata-mata.
Meskipun
pelbagai nama turut dijadikan sebutan seperti Tun Mahathir Mohamad,
Muhyiddin Yassin dan Azmin Ali, selain Dr Wan Azizah sendiri, perkara
itu hakikatnya sudah pun dipersetujui dalam Pakatan Harapan untuk
dibincangkan terlebih dahulu sebelum diumumkan.
Banyak
khabar mengatakan ia bakal diumumkan sebelum PRU 14 diadakan.
Bagaimanapun sehingga ini perbincangan belum lagi mencapai apa-apa kata
putus mengenainya. Tidak pasti sama ada akhirnya ia dapat dimuktamad
dan diumumkan atau sebaliknya.
Selain
itu, disebut juga oleh beberapa pemimpin sebelum ini bahawa dalam
Pakatan Harapan tidak ada mana-mana parti boleh mendakwa sebagai "big
brother" atau "abang besar" yang boleh menentu dan membuat keputusan
dalam segala hal. Semua perkara dikhabarkan perlu dibincangkan dan
dipersetujui terlebih dahulu.
Watak "big brother" hanya ada dalam BN dan Pakatan Harapan dikatakan ingin tampil berbeza di hati rakyat jelata.
Lantaran
itu, Kongres PKR yang menamakan Anwar sebagai Perdana Menteri dan Dr
Wan Azizah sebagai Perdana Menteri interim seperti tidak kena dengan
dengan irama dan lagu yang selalu dinyanyikan.
Dalam
soal ini, Pakatan Harapan mesti kembali ke meja perundingan untuk
memuktamadkan siapa calon Perdana Menteri selepas Najib ditumbangkan.
Jika ada konsensus, namakanlah pemimpin berkenaan secara terbuka dan
tanpa-tanpa ragu.
Tetapi,
jika tidak ada konsensus, bukan kerana ketiadaan calon yang sesuai atau
layak untuk ditonjolkan, tetapi disebabkan lebih daripada seorang yang
difikirkan bersesuaian, Pakatan Harapan tidak harus menjadikan isu itu
sebagai keutamaan.
Mereka
mesti kembali kepada perkara pokok iaitu memastikan kemenangan dan
hasrat menumbangkan Najib, UMNO dan BN benar-benar menjadi kenyataan.
Calon Perdana Menteri boleh dipilih dan dirundingkan kemudian
sebagaimana memilih Menteri Besar selepas Pakatan Rakyat menang di
Selangor dan Perak sebelum ini.
Sebenarnya
bukanlah sesuatu yang pelik pengisi jawatan itu tidak dinamakan kerana
yang penting ada dibariskan calon-calon yang sesuai untuk bertanding dan
mereka saling berpakat dan bekerjasama antara satu sama lain untuk
mencapai kemenangan.
Mewujudkan
lebih daripada seorang calon Perdana Menteri bahkan boleh membawa
keseronokan dan keterujaan kepada pengundi berbanding menamakan seorang
calon secara khusus.
Jika
dengan tidak menamakan sesiapa itu lebih baik dan mampu menjana ke arah
kemenangan, ia tentunya jauh lagi penting daripada ghairah menamakan
seseorang, tetapi akhirnya hanya menyebabkan perpecahan.
Yang
penting, jangan dikecewakan rakyat yang mahukan perubahan. Bagi
majoriti pengundi, meskipun siapa calon Perdana Menteri interim itu agak
penting, tetapi lebih penting bagi mereka ialah wujudnya ruang yang
konsisten dan kukuh bahawa Najib yang banyak masalah benar-benar dapat
dikalahkan.
Menamakan
seseorang sebagai calon Perdana Menteri interim, tetapi jika hanya
membawa keselesaan kepada Najib untuk menang, ia tentunya lebih membawa
kesengsaraan dan menyebabkan rakyat hidup dalam tekanan untuk
tahun-tahun mendatang.
Jangan
sampai isu calon Perdana Menteri membawa perpecahan dan menimbulkan
rasa kecewa di hati rakyat. Tidak menamakan sesiapa, tetapi sesama
mereka yang dirasakan sesuai menjadi Perdana Menteri itu terus kukuh
berpadu tenaga untuk menumbangkan Najib, ia adalah jauh lebih penting
daripada segala-galanya.
Selepas
menang, pemilihan Perdana Menteri mungkin boleh dilakukan berdasarkan
parti yang memperolehi paling banyak kerusi kemenangan, konsensus
selepas perundingan atau boleh juga secara undian di kalangan anggota
Majlis Presiden Pakatan Harapan.
Menamakan
calon Perdana Menteri terlebih dahulu memang menyeronokkan dan boleh
juga membawa mereka yang berkaitan lebih dahulu menempah baju atau
penyokong berangan-angan dalam kalbu, tetapi semua itu akan menjadi
tidak bermakna kiranya kemenangan akhirnya kandas di tengah jalan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan