HALAMAN SANTAI

Isnin, 1 Mei 2017

Putus tahaluf: PKR menantikan keputusan akhir PAS

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PKR menanti penuh minat perkembangan tahaluf siyasi bersama PAS, meskipun ia tidak akan dimuktamadkan menerusi Muktamar Tahunan PAS Kali ke-63 yang sedang berlangsung kini.
 
Naib Presidennya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin bagaimanapun mengingatkan PAS supaya mempertimbangkan segala baik dan buruk keputusan yang bakal diambil itu, memandangkan ia juga akan memberi kesan kepada keseluruhan landskap politik pembangkang.
 
Bukan itu sahaja, kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) di Selangor juga berkemungkinan terjejas memandangkan adanya tiga exco PAS di dalam pentadbiran.
 
"Kita akan menantikan kedudukan dan keputusan mereka. Sebagai parti kita tetap berjalan terus.
 
"Sesuatu pertimbangan kepada keadaan, beberapa kepentingan tertentu. Pada saya, seperti yang dikatakan, hubungan PKR-PAS bermula sejak PKR ditubuhkan. Bermakna isu besar tidak mudah... 
 
"Di dalam politik, hendak memutuskan (hubungan) itu mudah, namun apakah risikonya kepada politik. PKR merupakan parti jambatan kepada semua parti pembangkang di Malaysia. Jika putus dengan semua orang, apakah jambatannya?," katanya kepada Antarapos, hari ini.
 
Semalam Muktamar PAS Pusat bersetuju menerima usul memutuskan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR, atas alasan parti itu sudah beberapa kali mengkhianati perjanjian kerjasama.
 
Ia mengambil kira kerjasama PKR dengan Amanah dan DAP menerusi Pakatan Harapan (PH), kegagalannya menyokong usaha PAS memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah melalui Pindaan Akta 355 dan siri-siri kenyataan yang dianggap biadap sehingga menjejaskan hubungan dua parti.
 
Kesemua perwakilan di muktamar itu bingkas menyatakan persetujuan dengan bangun dan melaungkan takbir ketika usul dibuka untuk perbahasan, dan kemudiannya disahkan oleh pengerusi tetap.
 
Usul putus hubungan dengan PKR kini akan diangkat ke Jawatankuasa PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama untuk diputuskan secara muktamad kelak.
 
Mengulas lanjut, Shaharuddin menghormati proses yang diambil PAS dalam menetapkan keputusan hubungan dua parti itu.
 
"Itu adalah peraturan parti yang menetapkan begitu, terutama isu berkaitan tahaluf siyasi.
 
"Perkara ini telah dibawa ke muktamar, kemudiannya diluluskan di muktamar dan akan dikembalikan ke Majlis Syura.
 
Sekiranya dua badan tertinggi PAS itu meluluskan usul putus hubungan dengan PKR, secara tidak langsungnya akan memperlihatkan pertembungan tiga penjuru di antara PAS, PH dan Barisan Nasional (BN) di dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kelak.
 
Situasi kompleks juga mungkin dapat dilihat di Selangor sementelah PAS juga menganggotai pentadbiran kerajaan negeri sejak dua pilihan raya yang lalu.
 
 

Tiada ulasan: