HALAMAN SANTAI

Isnin, 18 Disember 2017

Banjir: 10 rumah dihanyutkan di Keningau - Bomba

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KENINGAU: Sekurang-kurangnya 10 rumah di Kampung Pampang runtuh dan dihanyutkan banjir kilat yang melanda daerah ini mulai tengah hari Ahad akibat limpahan air dari Sungai Pampang.
 
Menurut Pegawai Bomba Kanan 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Jaree Mohamad, tidak ada kemalangan jiwa berlaku kerana kesemua penghuni telah bertindak awal berpindah ke kawasan selamat.
 
Menurut Jaree beberapa buah rumah lagi di Kampung Contoh turut dinaiki banjir sedalam kira-kira setengah meter.
 
Tinjauan Bernama di Kampung Limbawan kira-kira jam 9 malam Ahad pula mendapati, laluan utama ke kampung itu telah ditutup berikutan paras air Sungai Pampang yang semakin meningkat.
 
Beberapa anggota polis trafik juga dilihat berjaga di laluan masuk kampung berkenaan sambil menasihatkan penduduk agar memindahkan kenderaan mereka di kawasan tinggi di sepanjang jalan menghala bangunan Masjid Pekan Keningau.
 
ADUN kawasan Liawan Datuk Sairin Karno yang meninjau kawasan-kawasan terjejas menasihatkan penduduk berisiko banjir agar berpindah di kawasan selamat.
 
Sementara itu, di Daerah Kota Belud, 74 orang mangsa banjir daripada 37 keluarga di pindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Masyarakat Tun Said sehingga jam 9.40 malam selepas perkampungan mereka terjejas banjir ekoran hujan berterusan sejak tengah hari tadi Ahad.
 
Menurut kenyataan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, setakat ini sebanyak 12 kampung di daerah berkenaan terjejas banjir.
 
Enam jalan raya di Kota Belud iaitu Jalan Kampung Linau, Jalan Kampung Menunggui, Jalan Bobot, Jalan Kota Belud, Jalan Siasai Tamu, Jalan Kampung Marajah-Kampung Donggoi tidak dapat dilalui kerana dinaiki air.
 
 

Tiada ulasan: