KANGAR: Rakyat negara ini perlu lebih banyak mengadakan demonstrasi
bagi membantah pengisytiharan Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel.
Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata
seluruh dunia kini sedang memandang ke arah Turki dan Malaysia, jadi
penting untuk rakyat negara ini menunjukkan penyatuan dan solidariti
umat Islam dalam isu tersebut.
Sudah tiba masanya untuk seramai 1.8 bilion umat Islam di seluruh dunia
bersatu membantah tindakan Israel itu yang hanya berjumlah 13 juta
penduduk, kata Asri.
"Perhimpunan itu penting kerana ia boleh membangkitkan kesedaran kita
untuk mengetahui isu-isu umat Islam yang melanda di seluruh dunia.
"Kadang-kadang kita lebih tahu tentang kelab bola sepak dan artis
berbanding masalah umat Islam sehinggakan kita gagal mengambil iktibar
terhadap apa yang berlaku," katanya ketika ditemui semasa perhimpunan
'Raja Memimpin Umat-Isu Palestin' di Masjid Tuanku Syed Putra Kangar,
hari ini.
Menurut Asri, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail
selaku pemimpin rakyat negeri ini turut menunjukkan bantahan terhadap
isu berkenaan menerusi perhimpunan tersebut.
"Semua parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hadir dan berucap
dalam masjid," katanya yang turut menggesa umat Islam memboikot produk
barat yang secara jelas menyokong tindakan dilakukan Israel.
Sebelum ini, UMNO, PAS dan beberapa NGO bertindak berhimpun dan
mengadakan bantahan aman di hadapan kedutaan Amerika Syarikat (AS).
Terdahulu Presiden AS, Donald Trump mengumumkan pengiktirafan bahawa Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
Susulan itu, Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam
(OIC) mengadakan persidangan dan mengiktiraf Timur Baitulmaqdis sebagai
ibu negara Palestin bukannya Israel.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan