KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Dr Irmohizam
Ibrahim menggesa Peguam hak asasi manusia, Kimberley Motley untuk
memahami dan menghormati undang-undang Malaysia sebelum membuat desakan
pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kata Irmohizam, desakan Motley atas nama perjuangan hak asasi dan
keadilan kerana Anwar adalah tahanan politik adalah satu pandangan yang
sempit.
Katanya, jelas sekali pandangan Motley kononnya demi keadilan hak asasi
dan hubungan antarabangsa itu membuktikan beliau tidak memahami dan
menghormati undang-undang negara ini.
"Jelas sekali pandangan Motley hanya bertumpu soal hak asasi sedangkan
sistem undang-undang di Malaysia adalah lebih telus dan jelas.
"Persoalannya, adakah Motley adalah peguam rasmi yang dilantik oleh
Anwar atau pihak keluarganya," katanya dalam satu kenyataan di sini,
hari ini.
Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Motley dalam satu kenyataan bersama
menyatakan Anwar sebagai tahanan politik dan perlu dibebaskan segera.
Semalam, Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairul Azwan Harun
menyifatkan tindakan Motley itu bererti dia mempertikai dan menghina
pemimpin serta institusi perundangan negara ini.
Irmohizam berkata, Motley perlu mempertimbangkan perasaan mangsa yang
diliwat jika Anwar dibebaskan hanya sebab tanggapan penahanan politik.
"Sudah tentu keputusan itu langsung tidak akan mengimbangi keadilan.
"Mengapa perlu kita meyakini orang asing sedangkan Malaysia berdiri
teguh dan diperakui dunia sejak kita merdeka lagi sebagai negara
berdaulat," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan