Oleh Zeanaaima Mohd Yusof
SHAH ALAM: Sikap mendiamkan diri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri
Azmin Ali berhubung isu Bugis membabitkan Sultan Selangor terus
dipersoal, kali ini giliran bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri
Muhammad Muhammad Taib.
Ujar Muhammad beliau tidak faham mengapa Azmin memilih pendekatan
berdiam diri walaupun Sultan Sharafuddin Idris Shah sudah dua kali
membangkitkan isu yang sama dalam tempoh sebulan.
“Saya tak faham dengan sikap MB selangor sebab ada dua insiden yang agak jelas, tapi MB Selangor macam tak ada pendirian.
“Sepatutnya MB kena ke depan pertahankan raja. Itu sikap hulubalang.
Bila dia diamkan diri, orang berfikir kenapa dia diamkan diri? Dia tak
tunjukkan dia ni pahlawan. Dia tak jaga adat istiadat kita,” tegas
Muhammad ketika ditemubual secara eksklusif oleh Antarapos.
Sultan Sharafuddin pada November menegur bekas Perdana Menteri, Tun Dr
Mahathir Mohamd mempersendakan bangsa Bugis ketika menyampaikan ceramah
politik pada Himpunan Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi, Oktober
lalu.
Sebulan kemudian, menjelang sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan
Sultan Sharafuddin Yang Ke- 72, baginda sekali lagi menegur Dr Mahathir
akan isu yang sama.
Malah baginda bertitah, Dr Mahathir dalam keadaan marah dan akan membakar seluruh negara dengan api kemarahannya.
Baginda juga bimbang pihak tertentu kerap menggunakan isu-isu sensitif
untuk agenda politik sempit mereka, yang kemudiannya akan mengancam
ketenteraman serta keharmonian yang dikecap negara kini.
Teguran kali kedua itu menyaksikan Dr Mahathir dan isterinya, Tun Dr
Siti Hasmah Mohd Ali bertindak memulangkan semula dua Darjah Kebesaran
yang masing-masing terima daripada Sultan Selangor.
Mengulas perkara itu, Muhammad berkata isu pemulangan pingat itu tidak sepatutnya dipanjangkan.
“Bila dia (Dr Mahathir) kecil hati dia akan merajuk dan pulangkan
balik (pingat). Saya fikir, biarlah setakat itu saja. Jangan
panjangkan,” katanya.
Tindakan Dr Mahathir memulangkan Darjah Kebesaran itu dilihat banyak
pihak sebagai satu penghinaan kepada institusi kesultanan.
Malah terdapat juga gesaan agar Dr Mahathir memulangkan kesemua Darjah
Kebesaran yang diterimanya daripada Sultan atau Raja di negara ini.
Muhammad juga berkata, bukan hanya rakyat malah Sultan Sharafuddin
sendiri sedang memerhati usaha Azmin menjaga kemuliaan intstitusi
kesultanan Selangor.
"Susah sebagai MB yang tiada pendirian, tidak mempertahankan raja di Selangor.
"Bila MB tunjukkan sikap yang tidak menetu, kemungkinan baginda tuanku
ada fikiran sendiri. Wallahua'lam, kita pun tak tahu apa ada dalam
pemikiran tuanku," ujarnya lagi.
Azmin dilantik menjadi Menteri Besar Selangor pada 2014 selepas bekas
penyandangnya Tan Sri Khalid Ibrahim digulingkan partinya (PKR) sendiri,
kononnya kerap membelakangkan parti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan