Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) berdepan laluan sukar dalam mendapatkan
sokongan pengundi khususnya kaum Melayu susulan kontroversi melibatkan
Pengerusi pakatan itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Sultan Selangor,
Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara
Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, ini kerana rata-rata
pengundi Melayu sukar untuk menerima mana-mana pemimpin yang mempunyai
'masalah' dengan istana.
Malah bukan itu saja, menurut Kamarul Zaman, pemimpin PH lain yang
pernah terpalit isu yang sama juga akan menyukarkan lagi peluang
gabungan itu mendapatkan sokongan rakyat.
"Malah jika kita ingat kembali, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim
pun telah ditarik gelaran Datuk Seri oleh Sultan Selangor pada 2014.
"Ini menunjukkan kedua-dua pemimpin tertinggi di dalam PH (Dr Mahathir dan Anwar) menghadapi masalah dengan Sultan Selangor.
"Sultan Selangor sendiri beberapa kali sebut dan kritik secara terbuka
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah, baginda jelaskan mengapa baginda
tak setuju Dr Wan Azizah sebagai calon menteri besar," katanya kepada
Antarapos.
Sultan Sharafuddin pada 2014 menarik balik darjah kebesaran yang
membawa gelaran Datuk Seri yang dikurniakan kepada Anwar, berikutan
tindakan bekas ketua pembangkang itu yang mempersoalkan kewibawaan
Sultan Selangor dan Institusi Raja dalam menyelesaikan kemelut
pelantikan Menteri Besar Selangor dan hal berkaitan isu agama Islam.
Kamarul Zaman juga menyentuh isu membabitkan beberapa pemimpin PH,
seperti R Sivarasa dan Datuk Zaid Ibrahim yang turut mendapat teguran
daripada Sultan Sharafuddin.
Sivarasa mencetuskan rasa dukacita Sultan Sharafuddin ekoran
tindakannya menyampaikan ucapan di dalam sebuah masjid, manakala Zaid
pula mempersoalkan titah baginda menerusi Twitter.
"Pengundi Melayu selalunya hormat kepada institusi beraja, Sultan.
"Kalaupun mereka (PH) masih menang di Selangor, membolot kerusi bandar
dan separa bandar, mereka tetap hadapi masalah mentadbir Selangor dengan
keadaan Sultan Selangor yang dukacita, hubungan yang tegang dengan
baginda," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan