Oleh Nur Atiqah Abdul Samad
PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata keputusannya
memulangkan pingat darjah kebesaran yang dianugerahkan oleh Istana
Selangor dibuat kerana beliau dianggap tidak layak lagi untuk
menyimpannya.
Bagaimanapun Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu
enggan mengulas sama ada akan mengambil tindakan serupa terhadap pingat
kebesaran yang diberikan oleh Sultan Johor kerana beliau juga dikritik
beberapa kali oleh baginda sebelum ini.
Dalam kes Selangor, Dr Mahathir berkata oleh kerana Sultan Sharafuddin
Idris Shah mengganggap beliau berkemungkinan membakar negara dengan api
kemarahannya, maka dengan sendirinya beliau tidak layak menyandang
pingat-pingat di raja negeri itu.
"Saya fikir Sultan Selangor merasakan saya tak layak untuk terima
anugerah berkenaan. Kalau saya nak terima mestilah sebab saya layak tapi
sekarang saya dikatakan akan membakar seluruh negara. Jadi saya fikir
saya sudah tidak layak lagi,” kata beliau selepas mempengerusikan
mesyuarat Pakatan Harapan.
Dr Mahathir memulangkan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor
(SPMS) kelas pertama yang di terima pada 22 Jun 1978 dan Darjah Yang
Amat Dihormati Kelas Pertama (DK) yang diterima sebulan sebelum
melepaskan jawatan secara rasmi sebagai perdana menteri pada Okt 2003.
Isteri beliau, Dr Siti Hasmah pula memulangkan Darjah Datuk Paduka
Mahkota Selangor dan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor.
Hari ini pihak istana Selangor menyatakan Sultan Sharafuddin berkenan menerima pemulangan berkenaan tanpa sebarang halangan.
Setiausaha Dewan Diraja Selangor Hanafisah Jais berkata pewartaan
pembatalan kurniaan darjah-darjah dan bintang-bintang kebesaran
berkenaan akan dilakukan mengikut prosedur dan proses yang ditetapkan.
Dr Mahathir mencetuskan kontroversi apabila mengaitkan keturunan Bugis
kepada lanun dan penjenayah semasa ceramah politik di Petaling Jaya.
Tindakan itu dibidas oleh Istana Selangor yang melihat Dr Mahathir
sebagai sengaja melakukan provokasi yang boleh memecah-belahkan rakyat.
Dalam wawancara dengan sebuah surat khabar, Sultan Sharafuddin
berkata, Dr Mahathir berkemungkinan menimbulkan huru-hara dengan
kemarahannya.
"Beliau dalam keadaan marah dan akan membakar seluruh negara dengan api kemarahannya," kata baginda.
Teguran oleh Sultan Selangor itu disusuli dengan penyokong kuat Dr
Mahathir, Datuk Zaid Ibrahim menegur pihak Istana supaya “menjaga mulut”
dalam mengulas isu itu.
Dr Mahathir dan isteri kemudian mengambil tindakan memulangkan darjah kebesaran yang dianugerahkan oleh Sultan Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan