HALAMAN SANTAI

Khamis, 21 Disember 2017

‘Giliran Mesir mahu tiru BR1M selepas Saudi

 
Timbalan menteri kewangan berkata, penerimaan 2 negara Timur Tengah itu membuktikan BR1M yang diperkenalkan Najib adalah model ekonomi tepat dan terbukti membantu golongan tidak bernasib baik. 


Othman-Aziz_mesir_br1m_600


JERLUN: Mesir menjadi negara terbaharu selepas Arab Saudi yang berminat melaksanakan program seumpama Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diperkenalkan di negara ini pada 2012.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz berkata, penerimaan kedua-dua negara Timur Tengah itu membuktikan BR1M yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah model ekonomi tepat dan terbukti membantu golongan tidak bernasib baik.

“Saya melihat program BR1M ini satu program yang cukup murni dan diterima golongan berpendapatan rendah…sebenarnya model ini juga sedang dikaji dengan serius untuk dilaksanakan di Mesir.

“Maksudnya, apa yang dilaksanakan kerajaan selama ini menjadi satu model yang diterima pakai dan akan ditiru Mesir dan Arab Saudi,” katanya pada Program “Kembali ke Sekolah” peringkat Parlimen Jerlun di Sekolah Kebangsaan Pulau Chapa, hari ini.

Othman menyeru lebih 7 juta bakal penerima BR1M yang layak segera mengemas kini maklumat peribadi atau membuat permohonan baharu di pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri sebelum 31 Disember ini, bagi mengelakkan nama mereka tercicir daripada senarai penerima.

“Ketika ini, BR1M berada di peringkat pendaftaran dan kemas kini maklumat diri penerima…kita seru masyarakat pergi kemas kini rekod diri…jangan ingat kita penerima BR1M, maka nama kita sentiasa ada, kadang-kadang ada kesilapan teknikal nama kita tercicir, bila tercicir kita akan mengamuk dan salahkan kerajaan,” katanya.

Tiada ulasan: