HALAMAN SANTAI

Khamis, 21 Disember 2017

21,258 hartanah dilelong, keadaan di Johor, Melaka membimbangkan

 
Johor ialah satu daripada negeri yang mempunyai bekalan hartanah melebihi permintaan dengan 3,043 hartanah dilelong sehingga September lalu kerana ada pembeli yang tidak mampu membayar pinjaman bank. 


house_sale_600


PETALING JAYA: Jumlah hartanah yang dilelong di Johor dan Melaka sepanjang 9 bulan pertama tahun ini ialah 3,043 berbanding 2,062 pada tempoh sama tahun lalu, peningkatan sebanyak 981 itu mendahului kawasan lain di seluruh negara.

China Press melaporkan keadaan di selatan Semenanjung Malaysia itu membimbangkan, walaupun ia hanya mewakili 14% daripada keseluruhan 21,258 hartanah yang dilelong di seluruh negara sehingga September lalu.

Pengarah Eksekutif AuctionGuru.com.my, Gary Chia dipetik akhbar itu berkata, jumlah hartanah yang dilelong di kawasan tengah Semenanjung Malaysia iaitu Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan menduduki tangga ke-2, iaitu 11,297 sehingga September lalu berbanding 10,382 hartanah dalam tempoh sama tahun lalu, kenaikan sebanyak 915 hartanah.

Ia disusuli 588 hartanah yang dilelong di 3 negeri pantai timur, iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan, perbezaan sebanyak 234 hartanah berbanding 354 hartanah yang dilelong sepanjang 9 bulan pertama 2016.

Malaysia Timur, iaitu Sabah dan Sarawak mencatat peningkatan sebanyak 148 hartanah daripada 1,446 hartanah tahun lalu kepada 1,594 hartanah tahun ini.

Keadaan sebaliknya berlaku di utara Semenanjung Malaysia, apabila jumlah hartanah yang dilelong di Perlis, Kedah, Perak dan Pulau Pinang ialah 4,736 sehingga September lalu berbanding 4,919 tempoh sama tahun lalu, berkurangan 183 hartanah.

“Johor selama ini membangunkan hartanah, tetapi jualannya tidak memberangsangkan. Dari segi statistik, kadar pelanggaran kontrak oleh pembeli untuk pembangunan baharu (tidak mampu membayar pinjaman bank menyebabkan hartanah terpaksa dilelong) juga tinggi.

“Ini tidak berlaku kepada pembeli tempatan sahaja, tetapi turut membabitkan pembeli asing, kebanyakannya dari Singapura dan Jepun.”

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini belum ada fenomena pembeli China melanggar kontrak kerana tidak mampu membayar pinjaman bank dan beliau berharap keadaan itu tidak akan berlaku.

“Walaupun rumah yang dilelong di kawasan tengah Semenanjung Malaysia lebih banyak, tetapi ia cepat bertukar tangan berbanding kawasan lain di negara ini.”

Chia berkata, Johor ialah satu daripada negeri yang mempunyai bekalan hartanah melebihi permintaan dan walaupun rumah tidak dilelong, ia akan menyebabkan rumah dikosongkan meningkat mendadak.

Katanya, biasanya tanah selepas dilelong beberapa kali, harganya akan merosot, tetapi beliau mendapati kebelakangan ini tanah besar yang terletak di lokasi strategik tidak mudah bertukar tangan, menunjukkan pemaju turut berwaspada dan memilih untuk mengekalkan modal bagi mengelakkan risiko.

Beliau berkata, jumlah tanah yang dilelong di selatan Semenanjung turut mendahului kawasan lain di seluruh negara, iaitu 186 bidang tanah bernilai RM463 juta berbanding lebih 150 bidang tanah di tengah Semenanjung bernilai RM491 juta daripada keseluruhan 694 tanah bernilai RM1.268 bilion dilelong di seluruh negara sepanjang 9 bulan pertama tahun ini.

“Keadaan pasaran sangat tidak memberangsangkan. Tanah hanya akan dilelong jika gagal dijual di pasaran sekunder.”

Tiada ulasan: