Persatuan Anak Peneroka Felda (ANAK) membuat laporan polis di Balai Polis Sentral Johor Bahru berkenaan kehilangan hak milik tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur seperti dilaporkan sebuah akhbar tempatan.
Menurut Pengerusinya Mazlan Aliman, isu ini telah lama dibangkitkan sejak 2014.
“Isu ini telah saya bangkitkan pada hujung 2014 kerana saya telah mendapat maklumat, Lembaga Pengarah FELDA berhasrat untuk membangunkan tanah seluas 22 ekar itu,” katanya.
Menurut Mazlan, beliau pernah membangkitkan keperluan Felda untuk membangunkan Wisma Felda di Jalan Semarak sedangkan Menara Felda bernilai RM660 juta baru sahaja siap dibina.
Beliau turut mempersoalkan mengapa syarikat terbabit secara begitu mudah mendapat tender membina Wisma Felda dan kemudian diakui Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad mendapat hak pemilikan tanah.
“Saya juga ingin persoalkan jika ahli lembagai Felda telah membuat keputusan saya yakin Perdana Menteri mengetahui akan perkara ini, namun yang menjadi persoalan mengapa Perdana Menteri tidak menegur perkara tersebut,” katanya.Sehubungan itu, Mazlan mahu pihak polis segera membuat siasatan.
Pihaknya juga akan membuat laporan kepada SPRM, 26 Disember ini di ibu pejabat SPRM Putrajaya.
Dalam sidang media yang sama, Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor Aminolhuda Hassan menyatakan rasa kesal dengan apa yang berlaku.
“Saya berasa amat dukacita dengan perkara yang berlaku pada harta milik bangsa Melayu sehingga tergadai.
“Peneroka perlu sedar apa yang dilakukan oleh pemimpin mereka yang sepatutnya menjaga kepentingan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, peneroka Felda Taib Andak yang turut hadir, Tosrin Jarvanthy menuntut mereka yang bertanggung jawab agar meletakkan jawatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan