Setiausaha Agung PBS, Johnny Mositun berkata,
gabungan pembangkang itu tahu manifesto pertamanya mempunyai kelemahan,
jadi mereka tampil dengan manifesto 'lebih baik'.
KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menggesa pengundi di pedalaman Sabah menolak manifesto terbaru Pakatan Harapan (PH) untuk negeri itu, dengan mendakwa ia hanya dipenuhi janji pilihan raya bagi penduduk luar bandar menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Setiausaha Agung PBS, Datuk Johnny Mositun berkata, manifesto “fasa ke-2” memfokuskan kawasan pedalaman yang dilancarkan Pengerusi PH Sabah, Christina Liew di Keningau semalam, terlalu baik untuk direalisasikan.
Katanya, kelakar untuk PH fikir mereka perlu tampil dengan satu lagi manifesto untuk meyakinkan pengundi di Sabah menyokong calon mereka.
“Mereka melancarkan manifesto mereka tidak lama dahulu. Kini, mereka tampil dengan satu lagi manifesto,” katanya kepada FMT.
“Ia seolah-olah mereka menyedari sesuatu tidak kena dengan versi pertama dan memutuskan untuk mengubahnya dan menggelarnya ‘fasa 2’.”
Semalam, Liew membentangkan manifesto “Fasa 2” pada majlis rumah terbuka Krismas PH yang turut dihadiri wakil parti pembangkang tempatan lain, termasuk Parti Warisan Sabah, Parti Cinta Sabah dan Parti Solidariti Tanah Airku (Star).
Liew dilaporkan berkata, manifesto itu menekankan pendidikan, kesihatan, kemudahan asas berkualiti, hak tanah dan pembangunan mampan yang akan menjamin peluang pekerjaan untuk belia luar bandar.
PH melancarkan manifesto Sabah pertama di Kota Kinabalu, September lalu, di mana ia berjanji mewujudkan jawatan timbalan perdana menteri baru khas untuk Sabah dan Sarawak.
PH turut berjanji mengembalikan 50% pendapatan persekutuan yang dikutip dari Sabah kepada negeri itu, mengkaji dan bertindak melalui Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang asing tanpa izin di Sabah, membersihkan daftar pemilih dan memperbaiki pendidikan.
Digelar “Janji Baru PH untuk Sabah dan Sarawak”, manifesto pertama itu sebahagian daripada manifesto gabungan pembangkang di peringkat pusat.
Mositun yang turut mengetuai PBS Bahagian Liawan di kawasan pedalaman berkata, manifesto terbaru itu sukar dilaksanakan di kawasan pedalaman yang diketahui terpencil dan rumit.
“Ini menunjukkan PH sebenarnya tidak mempunyai sekumpulan orang yang kompeten untuk membuat manifesto lebih profesional.”
Katanya, tidak seperti PH, PBS dan Barisan Nasional (BN) menekankan cara praktikal dan realistik untuk menyelesaikan keperluan semasa rakyat.
“Kerajaan BN terkenal dengan empatinya dan pemimpin kami sentiasa memahami masalah dihadapi rakyat.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan