KUALA LUMPUR: Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos
menyifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad dan isterinya, Tun Dr Siri Hasmah
Mohamad Ali seperti keanak-anakan kerana memulangkan darjah kebesaran
daripada Sultan Selangor.
Sehubungan itu, Jamal menggesa kedua-dua pemimpin itu, termasuklah ahli
DAP, Datuk Zaid Ibrahim kembali ke Darjah 1 untuk mempelajari kandungan
Rukun Negara yang menyentuh berkenaan prinsip 'Kesetiaan Kepada Raja
dan Negara'.
"Sedikit sahaja teguran daripada Sultan Selangor, (dah) seperti kebudak-budakan... merajuk memulangkan pingat.
“Memulangkan pingat ini kita tidak kisah kalau tidak ada krisis tapi
kalau ada krisis dan teguran maka memulangkan pingat kebesaran yang
dianugerahkan sebelum ini bermakna ini adalah satu protes yang tidak
dapat menerima dan tidak menghormati sultan ini tafsirannya.
"Mereka ini perlu kembali duduk di sekolah darjah 1, duduk sekolah
balik. Saya nak bagi tahu, Tun M jangan pandai cakap, pusing satu
Malaysia.
“Masuk balik sekolah darjah 1, belajar Rukun Negara begitu juga dengan
Zaid, balik darjah 1, belajar erti Rukun Negara patuh dan taat kepada
Rukun Negara barulah sepatutnya menjadi seorang pemimpin," katanya
kepada pemberita, hari ini.
Jamal sebelum ini membuat laporan polis ke atas Dr Mahathir, Siti Hasmah dan Zaid yang dikatakan menghina Sultan Selangor.
Dr Mahathir pada semalam berkata keputusannya memulangkan pingat darjah
kebesaran yang dianugerahkan oleh Istana Selangor dibuat kerana beliau
dianggap tidak layak lagi untuk menyimpannya.
Dr Mahathir memulangkan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor
(SPMS) kelas pertama yang di terima pada 22 Jun 1978 dan Darjah Yang
Amat Dihormati Kelas Pertama (DK) yang diterima sebulan sebelum
melepaskan jawatan secara rasmi sebagai perdana menteri pada Okt 2003.
Isteri beliau, Dr Siti Hasmah pula memulangkan Darjah Datuk Paduka
Mahkota Selangor dan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor.
Bekas perdana menteri itu bagaimanapun enggan mengulas akan mengambil
tindakan yang serupa terhadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum
Sultan Iskandar berkenaan pengurniaan Darjah Kerabat Johor Yang Amat
Dihormati Pangkat Pertama (DK1).
Dr Mahathir menerima darjah kebesaran itu daripada Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhun Sultan Ismai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan