Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Seorang pemimpin Umno Johor hari ini berkata Tun Dr Mahathir
Mohamad merendahkan martabat dirinya apabila memulangkan kembali darjah
kebesaran yang diterima daripada Sultan Selangor, selain enggan memohon
maaf atas 'keterlanjurannya'.
ADUN Mahkota, Datuk Md Jais Sarday berkata keengganan Pengerusi Pakatan
Harapan (PH) itu untuk berbuat demikian seolah-olah bercanggah dengan
kedudukannya sebagai seorang negarawan yang mempunyai pengalaman yang
meluas dalam kepimpinan.
"Jika beliau merasakan telah terlajak cakap, rasa tersilap, rasa
menyinggung ramai pihak termasuk Ke Bawah Duli Tuanku, sepatutnya
sebagai orang yang hebat beliau kena meminta maaf, namun sehingga kini
beliau tidak berbuat demikian," katanya kepada Antarapos, hari ini.
Menyentuh keperluan untuk Dr Mahathir memulangkan kembali kurniaan
pingat yang diberikan Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Sultan
Ismail kepada Dr Mahathir, Jais berkata ia terpulang kepada pemimpin
pembangkang tersebut.
Untuk rekod pada Khamis lalu, Dr Mahathir memulangkan pingat darjah
kebesaran yang dianugerahkan oleh Istana Selangor dengan menyifatkan
dirinya tidak lagi layak untuk menyimpannya.
Ia berikutan kemurkaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah
terhadap ucapan Dr Mahathir yang mengaitkan kaum Bugis sebagai lanun dan
penjenayah ketika berucap di himpunan anjuran pembangkang.
"Terserah kepada Dr Mahathir untuk memulangkan atau tidak. Kerana itu
haknya. Kurniaan daripada Almarhum Sultan sudah menjadi haknya, malah
Tuanku (Sultan Johor) juga tidak meminta ia dipulangkan.
"Sepertimana yang berlaku di Selangor, Sultan pun tak minta ia
dipulangkan. Jadi terserah kepadanya (Dr Mahathir). Jika beliau
merasakan telah melakukan satu penghinaan mungkin beliau kena minta
maaf," ujarnya.
Sultan Selangor terdahulu bertitah Dr Mahathir sebagai mencetuskan provokasi yang boleh membawa kepada perpecahan rakyat.
Dalam wawancara dengan sebuah akhbar baru-baru ini, Sultan Sharafuddin
berkata, Dr Mahathir berkemungkinan menimbulkan huru-hara dengan
kemarahannya dan 'akan membakar seluruh negara dengan api kemarahannya'.
Kini timbul persoalan apakah Dr Mahathir akan membuat tindakan yang
sama terhadap kurniaan Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat
Pertama (DK1) apatah lagi beliau enggan mengulas selepas PH mengadakan
sidang media, petang semalam.
"Secara peribadi saya, (tindakan Dr Mahathir) merendahkan lagi martabat
yang telah diletakkan, beliau seorang negarawan. sepatutnya sebagai
seorang negarawan dan juga sebagai seorang yang pernah mentadbir negara
lebih 20 tahun, yang ada banyak pengalaman dan faham senario di
Malaysia, termasuk sensitiviti yang ada di negara kita.
"Kita ada mempunyai pelbagai latar belakang agama dan budaya.
Sepatutnya beliau memainkan peranan, berasaskan pengalamannya, membantu
menstabilkan agama dan negara," tegas Jais lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan