HALAMAN SANTAI

Ahad, 17 Disember 2017

Kerajaan jamin sistem ganti IMAMS 100 peratus Islam

ANTARAPOS

Post Pic
 
  
KUALA LUMPUR: Susulan pembatalan pelaksanaan Sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS) bagi permohonan visa umrah semalam, kerajaan memberi jaminan akan mencari mekanisme baru yang lebih baik dan berkesan dalam menangani isu penipuan pakej umrah di negara ini.
 
Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata kaedah baru itu akan diperhalusi dan memberi jaminan hanya mereka yang beragama Islam akan terlibat mengendalikannya.
 
Menurutnya, mekanisme itu akan meliputi semua aspek termasuk cadangan pengecualian Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
 
“Mekanisme baru itu pastinya akan lebih cekap ... dan tidak membebankan pengguna. Kementerian memberi jaminan mekanisme baharu itu adalah 100 peratus Islam. Kita ambil kepentingan isu sensitiviti," katanya pada sidang media, semalam.
 
Ia berlangsung susulan pembatalan pelaksananaan IMAMS yang diumumkan Mas Ermieyati lebih awal dalam kenyataan di laman sosial beliau.
 
Pengumuman pembatalan pelaksanaan sistem itu dibuat berikutan pelbagai reaksi masyarakat kerana ia dilihat akan mengakibatkan penambahan kos bagi mengerjakan umrah.
 
Turut hadir pada sidang media itu, Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Rashidi Hasbullah.
 
Sementara itu menerusi satu pertanyaan, Mas Ermieyati berkata beliau hanya mengetahui terdapat individu bukan Islam dalam syarikat pengendali IMAMS selepas mengadakan sidang media mengenai pelaksanaan sistem itu di Putrajaya kelmarin.
 
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang terbabit dalam akvititi penipuan pakej umrah termasuk penjualan visa umrah.
 
“Saya tidak akan lepaskan sesiapa yang menjual visa. Saya tahu siapa. Jualan visa ini menyusahkan rakyat,” katanya.
 
 

Tiada ulasan: