Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Kelantangan Datuk Seri Najib Razak mengecam keputusan
Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel
memperlihatkan Malaysia merupakan negara yang berpengaruh dan dihormati
dalam kalangan 57 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis
Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata
ketegasan yang ditonjolkan Perdana Menteri jelas membuktikan Malaysia
tidak sekadar mengikuti telunjuk AS meskipun menjalinkan hubungan baik
dengan negara berkenaan.
Dalam Sidang Kemuncak Luar Biasa OIC yang diadakan di Istanbul, Najib
menegaskan Malaysia mengutuk dan menolak sekeras-kerasnya pengiktirafan
dibuat negara kuasa besar itu, sebaliknya mengiktiraf sepenuhnya
Baitulmaqdis sebagai ibu kota Palestin.
"Malaysia telah ambil satu tindakan yang cukup berani dan tegas. Tepat
pada masanya dan kita turut mahu rakyat Malaysia menyokong tindakan
tegas dan pendirian tegas yang diambil Malaysia yang telah diperlihatkan
Perdana Menteri di Istanbul.
"Malaysia telah menunjukkan bahawa kita adalah sebuah negara yang
berpengaruh. Kita sebuah negara yang pendirian kita sentiasa akan
menjadi rujukan dan panduan oleh negara yang lain. Kita adalah sebuah
negara Islam yang sangat dihormati antara 57 negara-negara OIC," katanya
ketika dihubungi Antarapos hari ini.
Mustafa berkata, menerusi pendirian tegas yang dibawa Malaysia dalam
usaha memperjuangan hak rakyat Palestin berhubung isu status bandar suci
umat Islam itu ianya sekaligus memberi semangat kepada negara lain
untuk mengambil tindakan sama.
Sehubungan itu, beliau turut berkata suara negara Islam perlu senada
dan amat penting untuk terus menentang percubaan 'merampas' hak umat
Islam di Palestin, yang juga merupakan tanggungjawab 1.6 bilion umat
Islam di seluruh dunia.
"Apatah lagi apabila Amerika mahu mengiktirafkan Jerusalem
(Baitulmaqdis) sebagai ibu negara Israel dan dipindahkan kedutaannnya ke
Baitulmaqdis. Sudah tentunya ini akan memberi kesan kepada sikap dan
pendirian banyak negara di dunia.
"Majoriti negara di dunia tidak sokong langkah (Donald) Trump ini.
Sebab itu negara Islam mestilah menyuarakan tentangan yang sehabis kuat
terhadap usaha ini supaya ada negara lain yang megikut jejak langkah
mereka," tambahnya.
Najib yang menyampaikan suara rakyat Malaysia di pentas OIC turut
menggesa negara-negara anggota pertubuhan itu supaya bersatu dan senada
bagi memastikan sebarang percubaan mengubah status quo serta keadaan
bandar suci umat Islam itu tanpa restu rakyat Palestin, dihalang dan
ditolak sekeras-kerasnya.
Tegasnya, pengiktirafan yang dibuat Trump juga disifatkan sebagai satu
pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa dan resolusi
Majlis Keselamatan PBB, termasuk yang terbaharu, Resolusi 2334 (2016).
Sebelum ini, Perdana Menteri dijemput Presiden Turki, Recep Tayyip
Erdogan untuk menghadiri sidang tergempar OIC berkaitan isu global itu
dalam menunjukkan solidariti bantahan bersama-sama negara Islam lain,
kerana menurutnya suara Malaysia cukup penting dalam isu itu.
Sidang kemuncak itu diadakan bagi menilai keadaan semasa susulan
tindakan pentadbiran AS pimpinan Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis
sebagai ibu negara Israel yang memegang kuasa, dan keputusan memindahkan
Kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.
Bagaimanapun Trump mengakui pengiktirafan ini tidak akan mengubah status quo Baitulmaqdis sebagai kota suci kepada tiga agama.
Isu Baitulmaqdis antara duri dalam daging dalam isu damai
Israel-Palestin selain pembinaan penempatan haram Yahudi di tanah milik
Palestin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan