Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Tun Dr Mahathir Mohamad sepatutnya turut memulangkan pingat
kebesaran yang dikurnia Istana Johor ekoran Sultan Ibrahim Sultan
Iskandar juga pernah mengkritiknya berhubung isu Bugis.
Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara
Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata jika Dr Mahathir
tergamak memulangkan Darjah Kebesaran daripada Istana Selangor, tentu
beliau boleh berbuat perkara sama dengan pingat yang dikurniakan
Kesultanan Johor.
"Sultan Johor juga sudah murka kepada beliau, kenapa beliau tidak
menyerahkan sama darjah kebesaran yang diterima sedangkan isu ini adalah
sama.
"Tambahan pula di negeri Johor, terdapat desakan (untuk pulang pingat),
contohnya Persatuan Bugis Johor supaya Dr Mahathir memulangkan kembali
darjah kebesaran tersebut," katanya kepada Antarapos.
Yang Dipertua Persatuan Bugis Johor, Datuk Awang Abdullah sebelum ini
mencabar Dr Mahathir memulangkan semula Darjah Kebesaran yang pernah
diterimanya daripada Sultan Johor kerana baginda juga berketurunan
Bugis.
Awang yang dipetik sebagai berkata, kenyataan Dr Mahathir pada himpunan
anti-kleptokrasi Oktober lalu yang mengaitkan Bugis sebagai lanun,
benar-benar mengguris dan perkataan terhina bagi masyarakat tersebut
sekali gus mendesak permohonan maaf atas keceluparannya.
Untuk rekod, Dr Mahathir dikurniakan Darjah Kerabat Johor Yang Amat
Dihormati Pangkat Pertama (DK1) daripada Almarhum Sultan Johor, Sultan
Iskandar Ibni Sultan Ismail.
"Di Selangor tak ada siapa pun desak beliau berbuat demikian, (tapi)
boleh pula beliau pulangkan. Jadi bila dah ada desakan, sepatutnya
beliau akur. Barulah ia nampak konsisten,"demikian tambah Kamarul
Zaman.
Dr Mahathir pada minggu lalu memulangkan pingat darjah kebesaran yang
dianugerahkan oleh Istana Selangor dengan menyifatkan dirinya tidak lagi
layak untuk menyimpannya.
Ia berikutan kemurkaan Sultan Sharafuddin terhadap ucapan Dr Mahathir
yang mengaitkan kaum Bugis sebagai lanun dan penjenayah ketika berucap
di himpunan anti-kleptokrasi anjuran pembangkang itu.
Bagaimanapun baru-baru ini beliau enggan mengulas lanjut ketika
diajukan soalan daripada pemberita adakah dirinya akan turut memulangkan
pingat kebesaran dari Istana Johor ekoran Sultan Ibrahim Ibni Sultan
Iskandar juga pernah mengkritiknya berhubung isu Bugis.
Dr Mahathir sebaliknya hanya melemparkan senyuman ketika ditanya pemberita mengenai perkara itu.
Polis semalam sudah mengambil keterangan Dr Mahathir bersabit
kenyataannya yang membangkitkan isu Bugis ketika himpunan
anti-kleptokrasi, Oktober lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan