Oleh Athirah Hanapiah
KUALA LUMPUR: Pengerusi Gabungan NGO Malaysia Datuk Seri Jamal Yunos
menyifatkan tindakan yang dibuat oleh Pengerusi Parti Pribumi Bersatu
Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah
Mohd Ali sebagai kebudak-budakan dan memalukan apabila memulangkan
pingat Darjah Kebesaran yang diterima dari Istana Selangor Khamis lalu.
Katanya, tindakan Dr Mahathir selaku individu yang diiktiraf sebagai
negarawan dan mantan perdana menteri selama 22 tahun adalah tidak wajar
dan menunjukkan sikap kurang matang pemimpin itu sendiri.
"Pemulangan tersebut adalah satu protes yang kita tahu sebelum ini
Sultan Selangor telah memberi teguran kepada Dr Mahathir tentang
beberapa perkara, tetapi perlu diingatkan Tun Mahathir adalah seseorang
yang sangat berpengalaman dan sepatutnya mengambil perkara tersebut
sebagai perkara yang positif.
"Tetapi akhirnya Dr Mahathir menjadi kebudak-budakan dengan
mengembalikan pingat tersebut setelah menerima terguran daripada Sultan
Selangor dan ini amat memalukan sebagai seorang negarawan dan bekas
perdana menteri selama 22 tahun," katanya dalam satu sidang media di
penjabat Gabungan NGO Malaysia dia Ampang pagi tadi.
Semalam Tun Mahathir bertindak memulangkan dua pingat yang diterimanya
daripada Sultan Selangor, termasuk satu daripadanya yang tertinggi di
negeri itu.
Menurut seorang pemimpin kanan PPBM, keputusan memulangkan pingat
kebesaran negeri itu dibuat Dr Mahathir atas pertimbangannya sendiri.
Difahamkan dua pingat yang dikembalikan pengerusi PPBM itu masing-masing diterima daripada Sultan Selangor pada 1978 dan 2003.
Turut melakukan tindakan yang sama ialah isteri kepada pemimpin itu,
Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang memulangkan pingat diterimanya dari
Istana Selangor pada tahun 1983 dan 1994.
Tindakan Dr Mahathir memulangkan pingat tersebut dipercayai berkaitan
teguran yang disuarakan Sultan Selangor beberapa kali sebelum ini
bersabit isu Bugis.
Beliau ketika berucap pada himpunan Sayangi Malaysia, Hapuskan
Kleptokrasi, Oktober lalu cuba mengaitkan keturunan Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai mungkin berasal daripada lanun Bugis
dan kenyataannya itu mengguris hati Sultan Sharafuddin.
Sementara itu, pagi tadi Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah
berkenan menerima pemulangan pingat kebesaran daripada pasangan Tun Dr
Mahathir Mohamad dan Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.
Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini Setiausaha Dewan Diraja Selangor
Hanafisah Jais berkata pihak istana menerima pemulangan itu "tanpa
halangan".
Menurut Hanafisah lagi, proses pembatalan berkenaan akan dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan pihak Istana.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan