PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen telah menahan beberapa pegawainya di
Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) yang disyaki terlibat melakukan
tindakan tidak berintegriti berikutan laporan pembolosan warganegara
asing khususnya warga Bangladesh melalui sindiket terancang di KLIA.
Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mustafar Ali berkata pegawai berkenaan
masih di tahan di ibu pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut
dan pihak jabatan telah mengambil tindakan dalaman.
Tanpa mendedahkan bilangan pegawai yang ditahan itu, beliau berkata:
"Apa yang pasti, tindakan serta-merta sudah diambil dengan penahanan
pegawai terbabit dan mereka masih disoal siasat.
Sekiranya, terbukti mereka terlibat dalam sebarang pelanggaran
integriti, tindakan tegas dan pencegahan akan dikenakan termasuk buang
kerja.
"Tetapi ia bergantung kepada sejauh mana pembabitan mereka dalam
perkara ini. Mengenai tindakan dalaman itu, saya tidak mahu mendedahkan
secara spesifik tetapi pasti ada tindakan tegas.
Kami akan pasti lakukan tangkapan ke atas pegawai dan dalang terlibat
kalau jelas terlibat," katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan
Bulanan Jabatan Imigresen di sini, hari ini.
Khamis lalu, sebuah akhbar tempatan mendedahkan buruh haram warga
Bangladesh diseludup masuk ke negara ini melalui KLIA setiap hari
diuruskan empat sindiket besar beroperasi di Kuala Lumpur dan Dhaka,
Bangladesh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan