Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: Demonstrasi yang dibuat secara besar-besaran di seluruh
dunia termasuk di Malaysia bagi membantah keputusan Presiden Amerika
Syarikat Donald Trump, sedikit sebanyak dapat memberi tekanan kepada
negara berkuasa besar itu.
Namun menurut pakar Geostrategi Azmi Hasan, tekanan yang lebih kuat
dapat diberikan kepada Trump sekiranya rakyat Amerika Syarikat juga
turut melakukan bantahan yang sama, seterusnya menolak pengiktirafan
Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
"Demonstrasi ini hampir 100% dilakukan di negara Islam atau di Eropah
yang dilakukan oleh penduduk yang beragama Islam, tapi di Amerika
Syarikat itu sendiri belum ada demonstrasi yang khusus terhadap
keputusan Donald Trump itu.
"Itu harapannya (beri tekanan), sedikit sebanyak diharap dapat memberi
tekanan kepada presiden Amerika supaya beliau memikirkan balik tindakan
beliau yang sebenarnya makin memburukkan lagi keadaan.
"Secara mudahnya rakyat Amerika Syarikat perlu turut melakukan
demonstrasi membantah keputusan presiden mereka berhubung keputusan
berkaitan Baitulmaqdis itu, jadi ia akan menjadi lebih berkesan lagi,"
katanya ketika dihubungi Antarapos.
Keputusan Trump yang mengangkat Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel
pada minggu lalu sememangnya telah mencetuskan bantahan keras dari
seluruh dunia.
Baik negara Islam mahupun Eropah, masing-masing menolak
sekeras-kerasnya keputusan Trump itu dengan melakukan bantahan berbentuk
demontrasi di negara masing-masing.
Malah, Malaysia juga tidak terkecuali dalam menyatakan bantahan
terhadap keputusan Trump tersebut walaupun mempunyai hubungan diplomatik
yang baik dengan negara kuasa besar itu.
Minggu lalu, pemuda Umno bersama PAS melakukan demontarasi di hadapan
kedutaan Amerika Syarikat bagi menghantar memorandum sebagai membantah
keputusan keji itu.
Bantahan Malaysia terhadap isu itu lebih kuat apabila Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak pada sidang kemuncak tergempar Pertubuhan
Kerjasama Islam (OIC) di Turki baru-baru ini.
Terbaru semalam, Pakatan Harapan turut menyuarakan bantahan yang sama
dengan pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan pengiktirafan
oleh Trump itu sebagai ‘pembulian’ dan ‘pencabulan’ undang-undang
antarabangsa.
Bukan itu sahaja, bantahan yang disuarakan oleh Malaysia dijangka
berterusan apabila pada Jumaat depan akan diadakan satu lagi perhimpunan
secara besar-besaran di hadapan masjid Putra di Putrajaya.
Dijangka Najib dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan hadir
bagi menunjukkan semangat solidariti membantah tindakan Amerika
Syarikat itu.
Mengulas lanjut, ketika ditanya sama ada bantahan yang disuarakan oleh
Malaysia ini akan menjejaskan hubungan diplomatik antara dua negara,
Azmi berkata ia sama sekali tidak berlaku.
Jelasnya, bantahan Malaysia hanya khusus kepada pentadbiran dan
keputusan unilateral yang dibuat oleh Trump tersebut, dan bukannya
terhadap negara kuasa besar itu secara keseluruhannya.
"Kita membuat bantahan bukan kepada Amerika Syarikat secara
keseluruhannya, kita hanya membuat bantahan secara spesifik iaitu
pentadbiran Trump ataupun kepada presiden Donald Trump itu sendiri.
"Saya melihat ianya tidak akan terjejas kerana keputusan ini dianggap
sebagai keputusan unilateral oleh presiden Trump, saya tidak melihat ia
keputusan oleh White House secara keseluruhannya, jadi ia tidak
menjejaskan hubungan antara dua negara ini," ujarnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan