KOTA KINABALU: Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din memberitahu
perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat
Timur Sabah (Esszone)yang berakhir pada 6 petang ini dilanjutkan
sehingga 1 Jan depan
Sehubungan itu mereka yang tinggal di kawasan berkenaan diminta berada
di dalam rumah dan tidak dibenarkan memasuki kawasan perairan itu antara
6 petang hingga 6 pagi sepanjang tempoh berkenaan.
"Orang lain tidak dibenarkan memasuki atau berada di kawasan yang telah
diisytiharkan antara 6 petang sehingga 6 pagi pada tarikh yang
dinyatakan," katanya dalam kenyataan di Kota Kinabalu hari ini.
Beliau berkata perintah berkurung tersebut meliputi kawasan perairan
daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan
Beluran.
Ramli berkata perintah berkurung itu diteruskan bagi memastikan kawasan
perairan berkenaan tidak diceroboh oleh pengganas yang mengancam
keselamatan penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan dan
pelancong asing yang melawat pulau-pulau peranginan.
Ramli berkata berdasarkan maklumat, kumpulan militan Abu Sayyaf dan
mereka yang menjalankan kegiatan menculik untuk mendapatkan wang tebusan
dari selatan Filipina masih cuba menceroboh bagi melakukan penculikan
dan jenayah rentas sempadan.
Katanya perintah berkurung itu juga bagi memudahkan penguatkuasaan dan
pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat dan
yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran kapal anggota
keselamatan di sekitar kawasan mereka.
"Saya juga memberi kuasa kepada semua ketua polis daerah di Esszone
untuk mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi tujuan aktiviti
perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah
berkurung," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan