Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mungkin tidak
dapat menerima teguran Sultan Selangor justeru bertindak memulangkan
darjah kebesaran yang diterimanya 1978 dan 2003, kata penganalisis
politik, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim.
"Itu (tindakan memulang semula darjah kebesaran) beerti beliau tidak
mahu pingat itu. Sebab dia tidak puas hati dengan apa yang disebutkan
oleh Sultan Selangor. (Itu) saya rasalah," katanya ketika dihubungi
Antarapos hari ini.
Dr Mahathir pada Khamis bertindak memulangkan kembali dua darjah
kebesaran yang diterimanya daripada Istana Selangor selepas Sultan
Sharafuddin Idris Shah murka kepadanya bersabit isu Bugis.
Beliau yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ketika
berucap pada himpunan Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi, Oktober
lalu cuba mengaitkan keturunan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak sebagai mungkin berasal daripada lanun Bugis.
Kenyataannya itu mengguris hati Sultan Sharafuddin sementelah baginda berasal daripada keturunan Bugis.
Baginda menerusi Setiausaha Dewan di-Raja Selangor Hanafisah Jais
bertitah tohmahan serta kenyataan Dr Mahathir tersebut jelas menghina
dan menggolongkan bangsa Bugis kononnya berusul daripada golongan lanun,
perompak serta penjenayah.
Pengerusi Biro Strategi dan Dasar PPBM, Datuk Rais Hussin mengesahkan
kepada media bahawa Dr Mahathir sudah pun memulangkan darjah kebesaran
itu dan keputusan itu dibuat atas pertimbangannya sendiri.
Pingat berkenaan diserahkan kepada seorang pegawai kanan di Istana Bukit Kayangan di Shah Alam pada Khamis lalu.
Sementara itu, isteri kepada Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali turut melakukan tindakan sama.
Dr Siti Hasmah memulangkan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota
Selangor (SPMS) yang membawa gelaran Datuk Seri bagi lelaki dan Datin
Paduka Seri bagi wanita.
Beliau juga memulangkan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor
(DPMS) yang membawa gelaran Datuk Paduka bagi lelaki dan Datin Paduka
bagi wanita.
Kedua-dua darjah itu diterimanya pada 1983 dan 1994.
Difahamkan satu kenyataan berhubung perkara itu akan dikeluarkan pihak Istana Selangor, esok.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan