Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Sokongan golongan penjawat awam yang semakin menguat kepada
kerajaan mungkin disebabkan limpahan dasar-dasar yang memberikan manfaat
kepada rakyat negara ini.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam
(CUEPACS) Datuk Azih Muda berkata golongan penjawat awam berupaya
menilai serta menimbang dengan baik keputusan demi keputusan yang
diambil kerajaan.
Azih berkata demikian mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Razak bahawa sokongan golongan penjawat awam kini berpihak kepada
kerajaan Persekutuan.
"Saya bersetuju dengan kenyataan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.
Yang Berhormat Perdana Menteri menyatakan bahawa penjawat awam ini
merupakan tulang belakang kepada negara kerana kami ini sebenarnya bukan
pendukung politik. Kami adalah pendukung dasar-dasar kerajaan, "ketika
dihubungi Antarapos hari ini.
Najib ketika menyampaikan ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Umno
2017 (PAU 2017) berkata momentum sokongan penjawat awam kini menyebelahi
Umno Barisan Nasional (BN).
Justeru, beliau yang juga Presiden Umno menzahirkan keyakinannya bahawa
Umno BN akan sekali lagi memperoleh kejayaan pada Pilihan Raya umum
ke-14 (PRU14) kelak.
“Momentum belah kita sekarang ini. Kebanyakan pegawai kerajaan memihak
pada kita. Saya ucap terima kasih kepada semua pegawai-pegawai kerajaan
kita.
"Mereka ini pelaksana dasar dan pendukung dasar Barisan Nasional," ujar
Najib semasa menyampaikan ucapan penggulungan PAU 2017, pada Sabtu
lepas.
PRU14 perlu diadakan menjelang Ogos tahun hadapan namun jangkaan kuat
bahawa pilihan raya akan dipanggil seawal suku pertama tahun 2018.
Azih dalam pada itu berkata, selain menjadi pendukung dasar, golongan
penjawat awam juga membantu menyokong kerajaan yang dipilih dan diberi
mandat oleh rakyat pada setiap kali pilihan raya.
Beliau juga percaya, keyakinan Najib bahawa memontum penjawat awam kini
berpihak kepada Umno BN dibuat berpandukan kajian-kajian bertauliah
yang dilakukan partinya.
"Mungkin juga apa yang dinyatakan Perdana Menteri berdasarkan kepada informasi yang ada pada Perdana Menteri.
"Saya nak nyatakan bahawa penjawat awam ini sentiasa menyokong kerajaan. 'Government of the day'. Itu kita sokong," katanya.
Azih kemudiannya berkata Najib dan barisan kepimpinannya boleh terus
memikat hati golongan penjawat awam dan rakyat negara ini dengan
mengambil kira soal kos sara hidup yang semakin membebankan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan