Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Seorang Ahli Parlimen Johor hari ini menggesa semua pihak
agar tidak mengheret Sultan Johor dalam isu Pengerusi Pakatan Harapan
(PH), Tun Dr Mahathir Mohamad yang memulangkan pingat darjah kebesaran
daripada Sultan Selangor.
Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid
berkata, tindakan memperbesar-besarkan perkara itu dikhuatiri akan
mengeruhkan lagi keadaan apatah lagi membabitkan istana dalam hal ehwal
politik.
"Tun Dr Mahathir nak serah kembali pingat bukan atas paksaan, dan
Sultan (Selangor) pun bila individu itu serah, baginda tak ada masalah.
"Usahlah kita terperangkap dalam polemik yang rasanya tidak membantu.
Jika kita bercakap banyak, nanti akan menyinggung perasaan banyak
orang," katanya kepada Antarapos.
Semalam Dr Mahathir enggan mengulas lanjut ketika diajukan soalan
adakah beliau akan turut memulangkan pingat kebesaran dari Istana Johor
ekoran Sultan Ibrahim Ibni Sultan Iskandar juga pernah mengkritiknya
berhubung isu Bugis.
Dr Mahathir sebaliknya hanya melemparkan senyuman ketika ditanya pemberita mengenai perkara itu.
Pertanyaan itu susulan tindakan Dr Mahathir dan isterinya, Tun Dr Siti
Hasmah Ali yang menyerahkan semula anugerah kebesaran yang diterima
daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Khamis,
ekoran kenyataan mantan perdana menteri itu yang mengaitkan keturunan
Bugis sebagai keturunan lanun.
Kenyataan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu sekaligus menghina keturunan Sultan yang juga berbangsa Bugis.
Menerusi satu temubual bersama akhbar The Star baru-baru ini, Sultan
Sharafuddin membidas kembali Dr Mahathir berhubung isu kenyataan lanun
Bugis, disamping isu berkaitan dagangan mata wang asing (forex) Bank
Negara serta pegkhianatannya kepada Umno.
Baginda juga bertitah bahawa Dr Mahathir mempunyai "rasa rendah diri
yang kompleks dan kebencian mendalam" yang boleh "membakar seluruh
negara".
Dalam pada itu, Ehsanuddin ketika ditanya sama ada hubungan renggang Dr
Mahathir dengan istana akan mempengaruhi undi kepada PH, hanya menjawab
'rakyat bijak menilai'.
"Kalau kita sentuh perkara-perkara sensitif ini, rakyat boleh menilai.
Kita nak tubuh kerajaan, jadi pilihlah berdasarkan track record.
"Contohnya, kerajaan bina ekonomi yang baik, negara dapat
pengiktirafan... itu lebih penting. Kalau pelaburan baik dan orang
melabur banyak, rakyat akan dapat nikmat yang banyak... dapat peluang
pekerjaan, industri berkembang maju.
"Rakyat kena beri pertimbangan lebih kepada tranck record seperti ini.
Daripada kita cerita isu itu dan ini, sebabkan orang tersinggung. Orang
kecil tersinggung pun datangkan masalah, apatah lagi pula kalau orang
'besar' tersinggung, lagilah banyak masalah," kata beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan