HALAMAN SANTAI

Isnin, 12 Februari 2018

15 Mac pengurusan akhir kes rantai anak pada tong gas

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUANTAN: Tempoh akhir pengurusan kes berhubung penganiayaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang ditemukan dirantai lehernya pada tong gas memasak, ditetapkan pada 15 Mac ini.
 
Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Sesyen Datuk Unaizah Mohd. berikutan pihak pendakwaan belum mendapatkan laporan perubatan mangsa daripada Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
 
Tertuduh, Mohd. Farid Fikri Mohammad, 32, dan isterinya, Fatimah Muhammad Zain, 37, yang merupakan bapa tiri dan ibu kandung mangsa hadir diwakili peguam Noor Svetlana Mohd. Noordin.
 
Berdasarkan pertuduhan pertama, pasangan berkenaan didakwa melakukan kesalahan itu antara pukul 1 hingga 9.15 pagi pada 5 Oktober lalu dengan menganiaya mangsa di bawah jagaan mereka dengan cara merantai lehernya menggunakan rantai besi pada tong gas memasak.
 
Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) Akta yang sama dan dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
 
Bagi pertuduhan kedua pula, mereka didakwa antara pukul 8 pagi hingga 10.30 malam, 31 September hingga 4 Oktober lalu melakukan kesalahan dengan mencapai niat bersama membiarkan mangsa tanpa mengadakan persediaan bagi pengawasan dan pemeliharaan yang berpatutan.
 
Untuk pertuduhan kedua, mereka didakwa mengikut Seksyen 33 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
 
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya, Farahah Nasri.
 
 

Tiada ulasan: