HALAMAN SANTAI

Isnin, 12 Februari 2018

Jangan kambing hitamkan pemaju, kata Umno Selangor

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Jangan hanya letakkan kesalahan kepada pemaju sahaja dalam pembatalan sembilan projek rumah Selangorku yang telah pun diluluskan sebelum ini, ujar Ketua Umno Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo. 
 
Beliau menjelaskan, kegagalan pemaju perumahan terlibat mematuhi syarat yang ditetapkan kerajaan negeri, ekoran mereka perlu mengambil kira soal keuntungan yang perlu diutamakan dalam masa yang ditetapkan. 
 
"Dia tidak boleh salahkan pemaju langsung. Pemaju ini kalau boleh ada tanah, dia nak bangunkan cepat. Dia nak dapatkan pembeli cepat, dia nak berniaga, mana ada perniagaan yang tidak mahu duit masuk. Kalau pemaju beli tanah contohnya, dah bayar premium tanah, dah berjuta dia keluar. Dia mesti ada pulangan dalam masa tertentu. 
 
"Tetapi yang ini macam mana dia boleh katakan pemaju yang bersalah. Sedangkan kuasa untuk meluluskan (kebenaran merancang) adalah Majlis Tempatan. Janganlah perbodohkan rakyat. Bagi saya, Azmin dan kerajaan negeri jangan perbodohkan rakyat. Sekarang rakyat bukan bodoh, rakyat tahu semua syarat-syarat. Katakan rakyat biasa, dia nak tahu boleh terus masuk laman web Majlis Perbandaran contohnya. Semua ada," katanya kepada Antarapos hari ini.
 
Ismail mendakwa, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang terus bertindak menyalahkan pemaju, seolah-olah menipu dan mengkambing hitamkan pemaju perumahan yang terlibat.
 
Katanya yang pernah mempunyai pengalaman berada dalam jawatankuasa ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), kebenaran merancang perlu diluluskan PBT terlebih dahulu sebelum ia dimajukan.
 
"Pemaju akan merancang dengan Pegawai Perancang dari Majlis Tempatan. Apakah syarat-syaratnya dan berapa unit. Dia akan ikut apa yang ditetapkan Majlis Tempatan. Apabila Majlis dah tetap syarat-syarat dia kena patuhi. Katalah, dia majukan lepas itu dah dilihat syarat itu dipenuhi.
 
Kalau tidak dipenuhi, dia akan beritahu pemaju. Dia mesti patuhi, selepas diluluskan bahagian teknikal. Lepas itu akan dibawa kepada jawatankuasa yang ada Ahli Majlis, sama sama duduk. Lepas itu akan bawa ke Majlis penuh. Majlis Perbandaran katakanlah Ampang Jaya. Kalau ikut peraturan kita akan teruskan," jelasnya. 
 
Baru-baru ini, kerajaan negeri Selangor terus menyalahkan pemaju berhubung keputusan pembatalan sembilan projek Rumah Selangorku yang diluluskan sebelum ini.
 
Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR berkata, projek itu terpaksa dibatalkan selepas pemaju melanggar beberapa syarat.
 
Sebelum ini, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar A. Samad memaklumkan kerajaan negeri pimpinan Azmin membatalkan sembilan projek Rumah Selangorku yang sudahpun diluluskan sebelum ini.
 
Jelasnya, keputusan itu dibuat semasa Mesyuarat Jawatankuasa Induk Rumah Selangorku berikutan kegagalan pemaju mendapatkan Kebenaran Merancang dalam tempoh dua tahun daripada tarikh kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
 
Pembatalan berkenaan melibatkan tiga projek di Kajang, dua projek di Selayang dan masing-masing satu projek di Subang Jaya, Shah Alam, Ampang Jaya dan Klang.
 
 

Tiada ulasan: