SANDAKAN: Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sabah menghantar balik
790 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dari Filipina menerusi Pelabuhan
Sandakan, malam tadi.
Pengarahnya, Datuk Rodzi Md Saad, berkata PATI berkenaan terdiri
daripada 560 lelaki dewasa, 188 wanita dewasa dan 42 kanak-kanak berusia
lingkungan lapan hari hingga 70 tahun, yang dihantar dengan menaiki
kapal MV Antonia 1 ke Zamboanga, Filipina.
Jumlah PATI yang diusir dari negeri ini, termasuk yang pulang secara
sukarela sejak 1990 hingga hari ini, adalah seramai 566,191 orang,"
katanya pada sidang media di atas Kapal MV Antonia 1 di Pelabuhan
Sandakan.
Beliau berkata, penghantaran balik PATI ini merupakan komitmen
berterusan kerajaan dalam menangani masalah kemasukan pendatang tanpa
izin ke Sabah.
Dalam pada itu, Rodzi mengingatkan pihak tertentu supaya tidak membuat
dakwaan tidak berasas yang boleh membawa implikasi negatif kononnya
tindakan pengusiran PATI dilaksanakan kerana berunsurkan politik semasa
di negeri ini.
Katanya pihak kerajaan dan MKN Negeri Sabah sentiasa bertindak sejajar
dengan undang-undang negara dan mematuhi Prosedur Operasi Standard yang
ditetapkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan