Mereka tiada orang tempatan untuk dihubungi dalam kes penderaan, kata Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia.
PETALING JAYA: Agensi pembantu rumah khuatir akan keselamatan pengambilan pembantu rumah tanpa ejen selepas kematian seorang pekerja domestik yang didakwa didera majikannya di Pulau Pinang.
Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (Papa) Jeffrey Foo berkata kaedah pengambilan secara terus boleh mendedahkan pekerja domestik kepada penderaan.
“Mereka mungkin tidak ada orang tempatan untuk menyuarakan dan melaporkan isu. Kita tidak menyokong pengambilan secara terus. Langkah itu boleh dipuji kerana membantu rakyat menjimatkan kos tetapi majikan mungkin akan bertindak sewenang-wenangnya,” katanya kepada FMT.
Beliau diminta mengulas hasrat Indonesia untuk mempertimbangkan semula moratorium penghantaran pembantu rumah ke Malaysia selepas kematian Adelina Lisao minggu lalu.
Tidak dapat dipastikan sama ada pengambilan Adelina oleh majikannya diatur melalui ejen di Malaysia. Pengambilan secara terus hanya berkuatkuasa tahun ini.
Kematiannya menghidupkan kembali perbahasan tentang keperluan mengukuhkan perlindungan untuk pekerja asing.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi dilaporkan berkata kes Adelina adalah kes terpencil dan beliau berharap Indonesia tidak mengambil langkah drastik seperti itu.
Foo berkata hal ini tidak dapat diselesaikan sehingga kedua-dua kerajaan dan pihak berkepentingan seperti Papa mengemukakan penyelesaian kepada masalah itu.
Beliau berkata ejen mempunyai senarai majikan tidak baik dan mereka akan campur tangan bagi mengekang masalah antara majikan dan pembantu. “Pembantu mempunyai orang untuk dihubungi sekiranya perlukan bantuan. Kita boleh hantar pembantu itu ke rumah yang lebih baik atau menghantarnya pulang,” katanya.
Tetapi dengan pengambilan secara terus, pembantu rumah itu harus menangani masalah itu sendiri, katanya.
Foo menambah imigresen juga mempunyai senarai majikan yang disenarai hitam tetapi masih perlu diperbaiki.
Contohnya, ahli keluarga kepada majikan disenarai hitam itu boleh memohon seorang pembantu untuk bekerja di rumahnya, kata beliau.
Pengambilan secara terus dilakukan melalui sistem pembantu rumah dalam talian (SMO) yang mula beroperasi tahun ini. Sistem itu menawarkan cara pengambilan pembantu rumah pada harga yang berpatutan, kerana melalui agensi boleh menelan belanja sehingga RM12,000.
Terdapat kira-kira 250,000 warga asing bekerja sebagai pembantu rumah di negara ini.
Foo berkata melarang pembantu rumah Indonesia bekerja di Malaysia bererti warga Indonesia yang berpendidikan rendah akan kehilangan pekerjaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan