DETIK DAILY
Oleh A Kadir Jasin
NEGARA Yahudi Israel mengaku yang Malaysia adalah “country tough to
crack”. Dalam bahasa Melayu, “negara yang sukar ditundukkan’.
Adakah Malaysia telah akibat tekanan Israel?
Jadi mereka cukup gembira apabila seorang diplomat mereka, David Roet
(Daud Roet), dan dua orang yang lain menghadiri persidangan habitat
Bangsa-Bangsa Bersatu (UN Habitat) di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Akhbar Israel, The Jerusalem Post, melaporkan pada 13 Februari bahawa
Malaysia yang amat kuat dasar anti-Israelnya telah membenarkan
penyertaan delegasi Israel hanya setelah negara Yahudi itu mengenakan
tekanan diplomatik yang sampai hingga ke pejabat Setiausaha Agung PBB,
Antonio Guterres.
Pokok pangkalnya Malaysia tunduk kepada tekanan Israel itu. Satu gol
untuk Israel, kosong untuk Malaysia.
Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng
Sandrobone Sultan Abdul Jalil), Mohd Najib Abdul Razak), dan para
penasihat serta penyokongnya - termasuk Tuan Guru (Datuk Seri) Haji
Abdul Hadi Awang - mungkin gembira menjadi tuan rumah persidangan itu.
Tetapi adakah mereka sedar implikasinya? Mungkin ia dan mungkin tidak.
Pengajarannya ialah persidangan antarabangsa yang berkaitan dengan PBB
boleh menjadi laluan untuk Israel/Yahudi menjejakkan kaki di bumi
Malaysia.
Roet memberitahu akhbar itu bahawa Israel berjuang mati-matian untuk
menghantar wakil ke persidangan itu atas dasar bahawa adalah menjadi
tangggungjawab Malaysia sebagai penganjur membenarkan peserta daripada
semua negara anggota PBB menghadirinya.
David (Daud) Roet: Persetujuan Malaysia jadi duluan
“Kita menuntut apa yang menjadi hak kita,” kata Roet sambil menambah
yang tindakan Israel itu menjadi duluan (precedent) bagi negara-negara
lain yang menjadi tuan rumah persidangan yang berkaitan dengan PBB.
Persidangan UN Habitat yang akan datang pada tahun 2020 akan diadakan di
Abu Dhabi. Emiriah Arab Bersatu (UAE) tidak ada hubungan diplomatik
dengan Israel tetapi pada tahun 2008 Israel berjaya membuka pejabat
perwakilan Pertubuhan Antarabangsa Tenaga Boleh Baharu di Abu Dhabi.
Sejak itu ia menggunakan perwakilan tersebut untuk melakukan lawatan
diplomtaik dan memperluaskan hubungan dagang dengan UAE dan
negara-negara Arab berdekatan.
Kesimpulannya, benteng pertahanan Malaysia pecah apabila ia menjadi tuan
rumah persidangan UN Habitat dan dengan itu terpaksa tunduk kepada
tekanan Israel dalam rangka perjanjian PBB.
Menurut The Jerusalem Post lagi, inilah kali pertama dalam masa 53 tahun
seorang diplomat Israel berjaya melawat Malaysia. Kali terakhir ialah
pada tahun 1965.
Kali ini Israel berjaya memecahkan tembok anti-Israel Malaysia dengan menggunakan pintu belakang.
Jadi eloklah kita lebih berhati-hati dengan kegiatan antarabangsa kita
kecualilah kita sengaja membuka pintu belakang untuk menjalin
perhubungan dengan negara Yahudi itu.
Wallahuaklam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan