JOHOR BAHRU: Lelaki warga asing, dipercayai suspek samun, maut ditembak
ketika cuba melarikan diri dalam kejadian di Jalan Dato' Onn Utama, di
sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 10.50 malam tadi, suspek yang memandu kereta Proton
Wira diarah memberhentikan keretanya, namun dia bertindak agresif
melanggar kenderaan polis sambil melepaskan beberapa das tembakan.
Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din, berkata
anggota polis kemudian membalas tembakan menyebabkan suspek maut dan
keretanya terbabas ke atas pembahagi jalan.
"Polis percaya suspek adalah ahli kumpulan yang terbabit dengan samun
keluar bank. Kumpulan ini dianggotai beberapa yang lain, termasuk warga
tempatan.
"Suspek yang bergiat aktif sejak tahun lalu itu dipercayai terbabit
dalam lebih empat kes membabitkan samun keluar bank iaitu di Johor,
Melaka dan beberapa negeri lain," katanya pada sidang media di lokasi
kejadian, di sini, sebantar tadi.
Beliau berkata, polis sudah menjalankan intipan lebih sebulan dengan
menubuhkan pasukan khas dan berjaya mengesan suspek terbabit.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan
membunuh. Mayat suspek dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk
bedah siasat," katanya.
Beliau berkata, tiada anggota polis cedera dalam kejadian itu, namun
bahagian depan kenderaan polis rosak akibat dilanggar kereta suspek.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan