KULIM: Masyarakat India perlu terus menyokong kerajaan Barisan Nasional
(BN), yang terbukti banyak membantu kaum itu dari segi pembangunan
ekonomi dan sosial.
Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata bantuan yang diberi
kerajaan terhadap kaum India juga menunjukkan kerajaan sedia ada
mengamalkan konsep perkongsian kuasa dengan sebaik-baiknya.
"Bantuan tidak pernah putus kepada masyarakat India di sini (daerah
Kulim), termasuk kepada sekolah dan kuil. Ini tanda kepemimpinan BN
menyokong orang India.
"Jadi, masyarakat India sendiri perlu sedar dan melakukan perubahan untuk masa depan yang lebih baik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pesta Perpaduan Pongal, di
sini, malam tadi. Yang turut hadir, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri
Ahmad Bashah Md Hanipah.
Dr Subramaniam, yang juga Menteri Kesihatan, berkata masyarakat India
di daerah itu tidak seharusnya mengulangi kesilapan pada pilihan raya
umum lalu, sebaliknya bertindak bijak dengan memilih wakil rakyat yang
mampu memperjuangkan nasib rakyat.
"Kesilapan itu banyak memberi kesan kepada masa depan penduduk di Dewan
Undangan Negeri (DUN) Lunas serta kawasan Parlimen Padang Serai. Sudah
tiba masanya mereka bangkit untuk mengubahnya.
"Sudah lebih 10 tahun penduduk di sini hidup dalam 'kegelapan' dan
menerima akibat yang bukan sedikit kerana wakil rakyat yang dipilih dulu
gagal menjalankan tugasnya.
"Saya percaya, kesedaran itu sudah ada dan berharap penduduk di sini
tidak memperjudikan kehidupan mereka sekali lagi," katanya.
Untuk rekod, kerusi Parlimen Padang Serai kini disandang N Surendran
dari PKR, manakala Azman Nasrudin dari parti sama menyandang kerusi DUN
Lunas.
Dr Subramaniam juga menegaskan mengenai perlunya ada sekurang-kurangnya
dua wakil rakyat daripada kaum India di DUN Kedah bagi menjaga
kebajikan masyarakat itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan