KUALA LUMPUR: Amah warga Indonesia, Adelina Sau yang maut didera
majikannya baru-baru ini di Taman Kota Permai 2, George Town dilaporkan
hilang sejak 2015.
Menurut sepupu Adelina, Ambrosius Ku menceritakan Adelina dua tahun
lalu didatangi seorang wanita yang mengajaknya bekerja di Malaysia.
"Adelina menolak ajakan itu, kerana ayahnya sering sakit," katanya.
Adelina beberapa kali menolak pelawaan itu, namun pada Ogos 2015 wanita
itu datang sekali lagi dan secara senyap-senyap membawa Adelina ke
Malaysia.
Sejak itu keluarga Adelina tidak mengetahui khabar beritanya
sehinggalah mendapat tahu berita mengenai kematiannya baru-baru ini.
Ambrosius berkata pihak keluarga Adelina meminta agar jenazah mangsa
segera dipulangkan ke kampung halamannya untuk dikebumikan.
"Kami hanya minta agar jenazah dipulangkan," kata Ambrosius yang
menjelaskan Adelina dilahirkan di Desa Abi, Timor Tengah Selatan pada 15
April 1989 dan berusia 29 tahun.
Beliau juga meminta polis menyiasat kes penyeludupan manusia yang
menyebabkan Adelina menjadi mangsa dan mengheret penjenayah terbabit ke
muka pengadilan.
"Kami minta agar perekrut dan pengirim harus dihukum seberat-beratnya," kata Ambrosius.
Ahad lalu, Adelina yang disyaki didera majikannya dalam kejadian di
Taman Kota Permai 2, di Bukit Mertajam, Pulau Pinang meninggal dunia
ketika menerima rawatan di Hospital Bukit Mertajam.
Susulan itu polis Malaysia menahan seorang wanita dan abangnya berusia
36 dan 39 tahun yang merupakan majikan kepada wanita itu.
Kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.
Menurut laporan, beberapa jiran mendakwa wanita itu dipaksa tidur
bersama seekor anjing jenis Rottweiler di anjung sebuah rumah selama
lebih sebulan sebelum dia ditemui Sabtu lalu.
Sementara itu AFP melaporkan dua individu ditahan di Indonesia atas
dakwaan pemerdagangan manusia berkaitan kes kematian Adelina.
Pihak berkuasa Indonesia berkata, perekrut pekerja itu, suami isteri
tidak dikenal pasti, menggunakan dokumen palsu untuk menghantar mangsa
ke Malaysia pada 2015.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan