BUKIT MERTAJAM: Seorang bayi perempuan berusia 47 hari, maut selepas dipercayai akibat didera di Kampung Tok Panjang, di sini.
Dalam kejadian jam 10.45 pagi itu, bapa mangsa berusia 22 tahun
menyedari anak keduanya, Nurul Ain Umairah Muhammad Firdaus, tidak
sedarkan diri ketika dalam perjalanan ke hospital, sebelum disahkan
meninggal dunia di klinik berdekatan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros
Azhan Nik Ab Hamid, berkata bayi berkenaan dilahirkan pada 30 Disember
tahun lalu secara normal dengan berat 2.66 kilogram.
"Selepas lahir, Nurul Ain menghidap sakit kuning dan sembuh dalam masa
dua minggu. Malam tadi, mangsa hanya minum sedikit susu malam tadi dan
enggan minum lagi selepas itu.
"Bayi itu semakin lemah pagi ini dan bapa serta ibunya membawa bayi
berkenaan ke sebuah klinik swasta di kawasan Sungai Rambai, di sini,"
katanya.
Beliau berkata, doktor memberitahu denyutan jantung bayi semakin lemah dan menyuruh bapa bayi itu membawa mangsa ke hospital.
"Dalam perjalanan ke hospital bapa mangsa mendapati anaknya tidak bergerak.
"Dia dan isterinya kemudian membawa bayi berkenaan ke klinik itu semula
sebelum doktor mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia," katanya.
Nik Ros Azhan berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital
Seberang Jaya dan hasil pemeriksaan x-ray mendapati terdapat kesan
kecederaan pada bayi berkenaan, termasuk patah tangan kanan, tulang paha
patah selain luka dan lebam pada kepala.
"Polis percaya bayi ini didera berdasarkan kecederaan yang dialami.
Polis sudah mengambil keterangan ibu bapa bayi berkenaan serta pegawai
perubatan terbabit.
"Bapa bayi itu yang bekerja sebagai pemandu lori di sebuah syarikat swasta ditahan bagi membantu siasatan. Dia akan dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam esok bagi mendapatkan perintah reman," katanya.
Beliau berkata, bedah siasat ke atas bayi itu akan dibuat di HSJ jam 10
pagi esok bagi mengetahui punca sebenar mangsa meninggal dunia.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan