Walaupun Syerleena kini bersama DAP dan tidak menyertai PKR yang diasaskan Anwar, peristiwa pada 1998 itu tidak akan dilupakan kerana ia merupakan detik yang mengubah kehidupannya.
“Baru lepas SPM, waktu itu saya kerja secara sambilan di Pizza Hut di Pulau Pinang. Satu hari saya berbasikal pulang ke rumah, bila masuk ke rumah, ternampak ibu dan bapa saya dalam keadaan sangat sedih.
“Saya tanya ayah apa yang berlaku, rupa-rupanya Anwar Ibrahim dipecat. Ayah saya benar-benar terganggu dengan insiden itu. Saya waktu itu baru berumur 18 tahun,” kata penolong setiausaha publisiti Wanita DAP itu dalam satu wawancara bersama The Malaysian Insight.
Syerleena berkata peristiwa di Malaysia pada 1998 itu yang akhirnya menyebabkan beliau aktif dalam politik pada hari ini.
“Insiden ini menyebabkan banyak persoalan timbul dalam diri saya. Episod 1998, 1999 menyebabkan banyak saya belajar tentang politik di Malaysia.
“Dulu, ayah saya ada beli kaset ceramah. Zaman ni sebelum ada Youtube semua. Jadi saya, ibu dan ayah akan mendengar kaset ceramah bersama-sama.
“Kaset ceramah seperti Mohamad Sabu, Anwar dan ramai lagi saya tak ingat. Sayang kami dah tak simpan kaset itu. Ini pendedahan awal saya dalam politik. Saya bangga mengatakan saya salah seorang dari generasi reformasi,” kata ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) itu.

PH yang diketuai Dr Mahathir dianggotai Bersatu, PKR, DAP dan Amanah.
Syerleena berkata pada peringkat awal tidak mudah untuk beliau menerima Dr Mahathir sebagai ketua PH.
“Kita pun manusia juga. Dari dulu lagi kita highlight kezaliman Dr Mahathir semasa memerintah Malaysia.
“Tetapi sekarang kita ada musuh lebih besar. Dr Mahathir pun dah mintak maaf. Saya rasa kita harus beri dia peluang untuk memperbetulkan negara ini.
“Pada usia 93 tahun, dia sepatutnya sekadar berehat dan menikmati persaraan dia, tetapi dia memilih untuk melawan kezaliman,” katanya.
Pendedahan politik sejak kecil
Sebelum insiden 1998, ibu bapa Syerleena sudah memberikan pendedahan kepadanya melalui bahan bacaan mengenai politik sejak kecil lagi.
“Sebelum saya menyertai politik saya pernah terlibat dengan Aliran. Saya selalu berminat dengan apa yang dihasilkan Aliran. Dari kecil saya baca majalah dikeluarkan Aliran.
“Sebab bapa saya selalu beli. Sehinggalah 2011 baru saya jadi ahli Aliran dan bergiat secara aktif. Pada ketika itu saya turut terlibat dengan kempen menghentikan pemerdagangan manusia di Pulau Pinang,” katanya.
Persatuan Aliran Kesedaran Negara (Aliran) merupakan pertubuhan yang aktif dalam membincangkan isu politik, ekonomi dan sosial. Mereka juga menerbitkan majalah bulanan Aliran Monthly yang membincangkan isu-isu politik, ekonomi dan sosial.
Walaupun sudah mempunyai kesedaran politik sejak 1998, Syerleena hanya mula bergiat aktif dalam politik pada 2013 selepas menyertai DAP.
“Dulu saya memang berminat nak menyertai politik, tetapi tak tahu macam mana. Sehinggalah saya bertemu kembali kawan lama saya Chris Lee, seorang ahli DAP pada 2013.
“Chris ni saya kenal masa tahun 008, masa tu saya mengajar kickboxing. Chris masuk kelas saya. Lepas tu kami terus berhubung melalui Facebook. Sehinggalah 2013 apabila kami berjumpa kembali di Komtar.
“Ketika itu mesyuarat berkenaan isu di Batu Ferringhi. Lepas tu dia ajak saya pergi minum di kedai mamak. Dia tanya soalan, adakah saya mahu terlibat secara aktif dalam politik dan di situlah segalanya bermula,” katanya.
Syerleena bukanlah orang pertama dalam keluarganya menyertai DAP. Bapa saudaranya, Rosli Hanafi merupakan ahli DAP sejak 1980-an dan pernah bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Uban pada pilihan raya umum 1995.
Sebelum menyertai politik, Syerleena lebih dekat dengan seni dan muzik. Syerleena merupakan lulusan Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang komunikasi visual.
“Sejak dulu lagi saya sentiasa berminat dengan seni kreatif, seni visual dan muzik. Tetapi sekarang saya melakukan sesuatu yang benar-benar berbeza iaitu politik.
“Memang kadang-kadang bila orang tahu apa yang saya lakukan dulu, mereka terkejut kata ‘macam mana ini boleh berlaku’.
“Perjalanan hidup saya kepada apa yang saya lakukan sekarang sememangnya tidak konvensional. Kebiasaannya ahli politik merupakan lulusan sains politik, sosiologi,” katanya.

“Semasa 13 tahun, saya beli kaset Rage Against The Machine (kumpulan rock dari Amerika Syarikat).
“Album pertama yang keluar. Pada umur 13 tahun apabila mendengar sesuatu yang sangat berbeza dengan yang biasa kita dengar, ia semacam memberi inspirasi untuk saya mula mempunyai banyak persoalan.
“Saya fikir saat itu dalam hidup saya menyebabkan fikiran saya lebih terbuka. Bila fikiran dah terbuka saya mula cari lagi maklumat. Saya mahu tahu lebih lagi tentang sistem di negara ini, saya mahu tahu bagaimana kerajaan berfungsi,” katanya.
Syerleena merupakan antara anak muda yang dilihat bakal ditonjolkan DAP pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang selain Amran Ahmad Nor, Young Syefura Othman, Kerk Chee Yee dan ramai lagi.
Sekiranya diberikan peluang oleh DAP, Syerleena bersedia untuk bertanding pada PRU14.
“Perkara seperti ini terpulang kepada parti untuk tentukan.
“Tetapi saya bersedia sekiranya diberi tanggungjawab untuk mewakili parti pada PRU14 akan datang,” katanya mengakhiri wawancara itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan