PETALING JAYA: Presiden Amanah Mohamad Sabu menyeru pemimpin-pemimpin
Pakatan Harapan (PH) Selangor tidak menyerang antara satu sama lain
secara terbuka dengan memberi kenyataan kepada media bersabit isu
pengagihan kerusi pilihan raya DUN negeri itu.
Beliau berkata perbincangan rundingan kerusi seharusnya dibuat secara dalaman bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.
“Saya mengharapkan perbincangan di antara parti-parti dalam PH dibuat secara musyawarah dan tertutup.
“Saya yakin dan percaya, sikap sabar, saling hormat menghormati dan
penuh kebijaksanaan akan memudahkan proses untuk kita mencapai kejayaan
dalam mendepani musuh bersama kita. Musuh sebenar kita adalah Umno/BN,”
katanya dalam kenyataan media.
Perkelahian antara parti komponen PH tercetus selepas Amanah dan DAP
negeri berkata mereka tidak tahu tentang mesyuarat pengagihan kerusi DUN
di Selangor seperti yang didakwa oleh Pengerusi PKR Selangor Datuk Seri
Azmin Ali.
Azmin sebelum ini mendakwa empat mesyuarat sudah diadakan untuk menentukan 80% kerusi DUN di Selangor.
Pengerusi Amanah Selangor Izham Hashim dan Pengerusi DAP Selangor Tony
Pua berkata, mereka hanya menghadiri empat mesyuarat jawatankuasa
pilihan raya sahaja, yang membincangkan strategi untuk PRU14.
Reaksi Amanah dan DAP Selangor itu bagaimanapun menyaksikan serangan bertalu-talu daripada beberapa pemimpin PKR negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya PH Selangor Dr Xavier Jayakumar dan
Timbalan Pengerusi PKR Selangor Zuraida Kamaruddin, sebaliknya berkata
mesyuarat membincangkan pengagihan kerusi DUN di Selangor sudah
diadakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan