TAIPING: Seorang pekerja kantin kilang didakwa di Mahkamah Sesyen di
sini hari ini atas dakwaan mendera bayi perempuannya yang berusia enam
bulan pada 2 Februari lalu.
Mohamad Amirul Asnil Mat Pandir, 21, didakwa melakukan perbuatan itu di
alamat 82 Kampung Paya Baru, Kamunting di sini kira-kira jam 3 petang, 2
Februari lalu.
Akibat perbuatan itu, mangsa, Nur Khayra mengalami pendarahan dalam otak.
Mohamad Amirul Asnil dituduh mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta
Kanak-Kanak 2001 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda
maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya.
Bagaimanapun bapa muda itu mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan
sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Che
Noralashiken Abd Razak.
Pertuduhan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Safiyatun Ahmadun manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pihak pendakwaan kemudian memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak
RM10,000 terhadap tertuduh sebelum Mohamad Amirul Asnil meminta jaminan
dikurangkan.
Hakim Che Noralashiken mengekalkan jaminan yang dicadangkan pihak pendakwaan dan menetapkan 21 Mac ini bagi sebutan semula kes.
Media sebelum ini melaporkan seorang bayi perempuan berusia enam bulan
meninggal dunia, dipercayai akibat didera, ketika dirawat di Hospital
Taiping (HT) pada 5 Februari lalu.
Nur Khayra disahkan meninggal dunia jam 7.30 pagi ketika dirawat di wad
penjagaan intensif untuk bayi (NICU) hospital berkenaan.
Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Mohamad Taib sebelum ini
dilaporkan berkata, bayi berkenaan sebelum itu dihantar ke Hospital
Taiping jam 6.30 petang 2 Februari lalu selepas dikatakan pengsan akibat
terjatuh buaian di rumahnya.
Berdasarkan laporan yang dibuat doktor yang merawat mangsa, bayi
berkenaan sudah tidak sedar diri ketika dibawa ke hospital dan apabila
doktor bertanyakan kepada ibu bapa bayi itu mereka memberitahu bayi
terbabit jatuh dari buaian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan