BUKIT MERTAJAM: Punca kematian bayi perempuan berusia dua bulan yang
disyaki didera dalam kejadian di Kampung Tok Panjang, Bukit Tengah di
sini kelmarin adalah disebabkan pendarahan di dalam kepala.
Selain itu, hasil bedah siasat ke atas mayat mangsa di Hospital
Seberang Jaya di sini juga menunjukkan bayi berkenaan menderita akibat
kecederaan dalaman dan luaran hampir di seluruh bahagian badan.
Ketua Ketua Polis Daerah Seberang Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros
Azhan Nik Ab. Hamid berkata, pemeriksaan luaran mendapati terdapat
banyak kesan lebam dan calar pada bahagian tubuh bayi itu dari bahagian
kepala, muka, mulut, badan, kedua-dua belah lengan atas dan kedua-dua
belah kaki.
Selain itu, kata beliau, terdapat kesan kecederaan pada kemaluan bayi
berkenaan selain kesan gigitan pada kedua-dua belah tangan.
Sementara itu, ujarnya, pemeriksaan dalaman menunjukkan kesan
pendarahan yang banyak di bawah kulit kepala serta pendarahan pada
bahagian otak.
“Terdapat juga banyak kesan patah dan penyembuhan pada tulang rusuk
kiri dan kanan, kesan patah dan penyembuhan pada lengan kanan dan kesan
patah baru pada tulang paha kiri,” katanya kepada pemberita di sini hari
ini.
Dalam kejadian kira-kira 11 malam semalam, bayi itu yang merupakan anak
bongsu kepada pasangan suami isteri yang berusia 22 dan 26 tahun
disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke HSJ.
Terdahulu, bayi itu dibawa kedua-dua ibu bapanya ke sebuah klinik di
sini dalam keadaan lemah dan tidak bermaya selepas didakwa enggan
meminum susu.
Dalam pada itu, Nik Ros Azhan berkata, kecederaan pada bahagian luar
bayi berkenaan adalah disebabkan objek tumpul dan keras seperti lantai,
dinding dan pintu termasuk perbuatan cubit serta hentakan.
“Kecederaan dalaman pula adalah hentakan kuat sehingga pendarahan berlaku di organ dalaman seperti otak,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan