Oleh Zeanaaima Mohd Yusof
SHAH ALAM: PAS Selangor hari ini memberi kata dua kepada Menteri Besar,
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk menyelesaikan isu peruntukan kepada
13 ADUNnya sehingga perayaan Tahun Baru Cina.
Pesuruhjayanya, Sallehen Mukhyi berkata jika isu peruntukan berkenaan
gagal diselesaikan dalam tempoh itu, pihaknya akan mengambil langkah
susulan, namun tidak memerinci dengan lebih lanjut.
“Insya-Allah kita telah tetapkan sehingga Tahun Baru Cina, kalau kami
masih belum menerima juga dan apabila ADUN-ADUN lain yang kami
difahamkan sudah ada yang boleh menggunakan peruntukan itu, maka selepas
daripada Tahun Baru Cina kami akan membuat tindakan seterusnya.
"Ini termasuklah kami akan membuat kenyataan rasmi berhubung isu ini,"
katanya kepada pemberita dalam sidang medianya di Pejabat PAS Selangor,
malam ini.
Ujar Sallehen beliau sudahpun menghubungi Azmin menerusi pesanan
ringkas dan memaklumkan mahu berjumpa dengannya minggu hadapan, bagi
menyelesaikan isu tersebut.
“Sebenarnya perjumpaan itu, bukan kami nak merayu sebab itu bukan
amalan ADUN-ADUN PAS yang masih lagi sebagai ADUN kerajaan negeri untuk
merayu.
"Tetapi sekadar mengingatkan Yang Berhormat tentang tanggungjawab
tentang semangat untuk mendokong demokrasi, mesti masih lagi wujud atas
semangat sebuah kerajaan.
“Kami sekadar mahu tanya sama ada kami dapat atau tidak peruntukan yang akan diberikan. Jadi jawapan itu yang kami perlukan.
“Kami mahu tahu adakah menteri besar merasakan keperluan membantu
rakyat melalui dana ini, kalau boleh guna dana ini katakan boleh, kalau
tak boleh, maka kami memerlukan jawapan sebegitu," katanya lagi.
Pun begitu ujar Sallehen, beliau diberitahu terdapat ADUN-ADUN PAS
tertentu yang sudah boleh menggunakan peruntukan daripada kerajaan
negeri Selangor.
"MB sendiri memaklumkan pada kita dalam kenyataannya sudah ada beberapa
ADUN PAS bertemu dengan beliau dan sudah ada yang boleh menggunakan
peruntukan itu. Sebenarnya bukan ADUN tapi penyelaras-penyelaras DUN.
"Kita tidak diberitahu siapa ADUN itu dan kita pun tidak mahu periksa
buat sementara waktu ini. (Sebenarnya) ini bukan amalan, tidak pernah
berlaku sebelum ini (jumpa MB dulu baru dapat).
"Kalau ada peraturan serta arahan baru, Yang Amat Berhormat boleh
keluarkan pekeliling (bagi nyatakan) syarat-syarat penggunaan dan
sebagainya," tegasnya.
Sallehen juga ditanya kemungkinan peruntukan ADUN-ADUN PAS disalurkan
kepada penyelaras DUN (wakil PKR) bagi menjalankan program untuk rakyat,
sepertimana yang dilakukan di kawasan yang diwakili ADUN Umno.
"Itu kita tidak ada maklumat. Sebenarnya itu tidak boleh berlaku kerana
perkara sebegitu mesti diputuskan melalui mesyuarat Exco. Ia bukan
semudah melantik seseorang untuk menggunakan dana itu," tegasnya.
Exco PAS Selangor, Datuk Iskandar Samad sebelum ini memberitahu
Antarapos hanya ADUN-ADUN PAS yang belum belum diberi kelulusan untuk
menggunakan peruntukan tahunan RM800,000 yang diluluskan oleh kerajaan
negeri Selangor.
Menurut Iskandar, pihaknya dimaklumkan bahawa peruntukan untuk ADUN
sememangnya sudah sampai ke pejabat daerah, namun ia tidak dapat
dikeluarkan oleh wakil rakyat PAS.
Azmin sebelum ini menafikan peruntukan itu disekat atau dibekukan sebaliknya mengalami masalah teknikal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan