HALAMAN SANTAI

Khamis, 15 Februari 2018

Buang ego selesaikan isu penggunaan Stadium Shah Alam


Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Lepaskan ego masing-masing untuk selesaikan isu pasukan bola sepak Selangor dinafikan hak beraksi di Stadium Shah Alam (SSA), kata  Hafizal Hamad.
 
Pengulas sukan Astro Arena itu berkata sejak dari awal beliau tidak hairan dengan sekatan ke atas pasukan The Red Giants kerana memahami itulah natijahnya jika sukan dipolitikkan.
 
Hafizal bertegas, kemelut yang menimpa pasukan bola sepak yang 33 kali menjuarai Piala Malaysia itu boleh diselesaikan, dengan syarat ego pihak terlibat harus diketepikan.
 
"Saya sebenarnya sedikit pun tidak menzahirkan kejutan kerana inilah akibatnya seperti kebiasaan yang kita maklumkan selalu bagaimana apabila sukan itu dipolitikkan, ini masalahnya.
 
"Saya tidak menyalahkan secara 100% kepada pihak kerajaan negeri Selangor mahupun FAS sendiri tetapi jalan penyelesaiannya tetap ada. Jalan penyelesaian untuk penggunaan SSA ini masih ada, dengan syarat ego kedua-dua belah pihak perlu diletakkan di tepi," katanya ketika dihubungi hari ini.
 
Umum mengetahui sudah dua tahun The Red Giants tidak dibenarkan beraksi di SSA sehingga memaksa pasukan bola sepak itu mencari dan bermain di stadium lain.
 
Krisis bermula apabila kerajaan negeri menuduh FAS tidak menunjukkan taat setia dan hormat kepada Sultan Selangor apabila enggan melepaskan beberapa pemain negeri menyertai Pilihan Selangor pada Piala Sultan Selangor 2017.
 
Manakala FAS pula mendakwa segalanya berpunca apabila Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memecat serta merta ketua jurulatih Selangor ketika itu, Zainal Abidin Hassan, digantikan oleh K Gunalan, tanpa sebarang perbincangan dengan FAS. 
 
Polemik yang tidak berkesudahan itu menyaksikan penyokong pasukan bola Selangor menubuhkan badan bertindak dan menggesa agar kemelut itu diselesaikan.
 
Mengulas perkara itu, Hafizal berkata FAS dan kerajaan negeri seharusnya memikirkan mengenai harapan penyokong yang mahukan pengakhiran baik untuk pasukan bola sepak kesayangan mereka.
 
"Kedua-dua belah pihak tidak rugi, yang rugi adalah penyokong, yang naik motor pukul 5 petang daripada Kuala Selangor datang Shah Alam. Habis perlawanan sampai rumah pukul 3 pagi. Pernah individu-individu terbabit memikirkan soal ini?
 
"Mereka ini bukan tahun pertama atau kedua menjadi penyokong, malahan ada yang sudah memasuki 20-30 tahun (menyokong pasukan bola sepak Selangor)," katanya. 
 
Mengulas lanjut, Hafizal berkata biarpun FAS berjaya mendapatkan stadium lain sebagai gelangang rasmi, penyokong Selangor tetap mahukan pasukan bola sepak itu beraksi di SSA.
 
FAS sebelum ini membuat permohonan kepada kerajaan negeri untuk menjadikan SSA sebagai gelanggang rasmi sepertimana tradisi sebelum ini, namun belum mendapat maklum balas.
 
Malah FAS juga membuat permohonan yang sama kepada Stadium Nasional Bukit Jalil dan terbaru ialah Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur sebagai gelanggang rasmi.
 
Terkini pasukan bola sepak Selangor menumpang di Stadium Bola Sepak Cheras sepanjang Liga Malaysia 2018.
 
"Saya rasa isu ini memerlukan pihak ketiga sebagai orang tengah walaupun ada pihak tertentu yang telah menghantar memorandum kepada pihak menteri besar Selangor, dan juga FAS tetapi sejujurnya saya katakan ia memerlukan kuasa orang tengah yang dilihat mungkin lebih fleksibel untuk berbicara tentang isu penggunaan stadium ini.
 
"Antara pihak terbabit ialah mungkin bekas pemain dan juga mungkin campur tangan pihak istana, itu mungkin jalan penyelesaian yang terakhir," jelasnya lagi
 
 

Tiada ulasan: